JOHOR BAHRU: Seramai 159 warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli sindiket penipuan dalam talian serta berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah, pertengahan bulan ini.
Kesemua tertuduh yang berusia antara 20 hingga 58 tahun itu didakwa di hadapan Majistret, A. Shaarmini; Atifah Hazimah Wahab dan Nurzihan Abdul Rehman dalam prosiding yang dijalankan secara berperingkat.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu cubaan untuk menipu pelaburan kripto yang tidak wujud dan bertentangan dengan Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, mereka juga sebagai individu bukan warganegara Malaysia didapati tidak memiliki pas yang sah yang dikeluarkan mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.
Pendakwaan terhadap kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis, di Jalan Forest City 16, Gelang Patah, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 15 Julai lalu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda antara RM4,000 hingga RM10,000 terhadap tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan imigresen dan menipu.
Manakala mahkamah menetapkan tarikh sebutan antara 13 hingga 24 Ogos depan bagi sebutan semula kes serta serahan dokumen terhadap individu yang mengaku tidak bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin; Nor Hidayah Mohd. Tarmizi, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal; Adilah Farzana dan Nor Deana Aqilah Aliman.
Manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Heng Wang Qianyou; Heng Wang Qianwei; Clement Tiong dan Ng Mee Xuan.-UTUSAN










