PUCHONG: Kerajaan dijangka mengumumkan senarai syarikat penerima baharu token teknologi Arm Flexible Access (AFA) dan Arm Compute Subsystems (CSS) dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi selepas semua proses pentadbiran dimuktamadkan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pemilihan itu akan dimuktamadkan selepas jawatankuasa berkaitan meneliti permohonan berdasarkan kriteria serta keupayaan setiap syarikat.
Katanya, pihaknya bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan bermesyuarat Khamis ini bagi meneliti kumpulan permohonan seterusnya.
“Pengumuman hanya akan dibuat selepas semua proses pentadbiran selesai. Pada ketika itu barulah kita akan mengumumkan syarikat yang akan menerima token CSS atau AFA seterusnya.
“Dalam menilai permohonan, kami melihat kepada pelbagai kriteria dan keupayaan syarikat, termasuk komitmen mereka dalam menyediakan peluang pekerjaan, menggunakan ekosistem tempatan serta menyumbang kepada pembangunan industri negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Penghargaan Bakat Malaysia di bawah Advanced Semiconductor Academy Malaysia (ASEM) di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan tiga syarikat menerima token AFA dan tiga lagi menerima CSS sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem reka bentuk litar bersepadu (IC design) negara.
Pada majlis sama, Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec) meraikan pencapaian 454 pelajar yang berjaya menamatkan latihan reka bentuk litar bersepadu (IC) di bawah ASEM merangkumi sembilan kohort, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan bakat semikonduktor negara.
Para graduan itu terdiri daripada pelajar kejuruteraan, graduan baharu dan golongan profesional yang telah dilengkapi kemahiran berkaitan industri bagi menyokong pertumbuhan sektor semikonduktor dan teknologi bernilai tinggi di Malaysia.
Sepanjang tempoh latihan, peserta mengikuti lima bidang pengkhususan iaitu Reka Bentuk IC Digital, Reka Bentuk IC Analog, Embedded System Firmware, Embedded Internet of Things (IoT) dan AI Robotics bagi mempersiapkan mereka untuk memasuki industri semikonduktor dan teknologi.
Mereka dilatih menerusi sembilan kohort yang dijalankan dari Februari 2025 hingga Jun 2026, dengan 85 peratus mengikuti National Semiconductor Excellence Programme (NSEP) dan 15 peratus lagi menyertai Global Semiconductor Exchange Programme (GSEP). – UTUSAN










