SEREMBAN : Seramai 1,114 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pasangan mengundi awal di dua saluran di Pangkalan Udara Sendayan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.
Proses pengundian awal itu melibatkan 16 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memilih calon wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
DUN Rantau menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Azizul Hakim Mahdi dan penyandangnya selama tiga penggal, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hari ini, seramai 22,339 anggota keselamatan dan pasangan akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
Jumlah itu membabitkan 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.
Proses pengundian akan berlangsung di 38 pusat mengundi awal di seluruh negeri yang dibuka serentak pada pukul 8 pagi, manakala waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat mengikut lokasi.-UTUSAN










