11 ahli Geng Vinod aktif jenayah kekerasan sekitar Selangor ditahan

11 ahli Geng Vinod aktif jenayah kekerasan sekitar Selangor ditahan

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 11 ahli ‘Geng Vinod’ dipercayai aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan sekitar Selangor ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Op Rapido pada 23 dan 24 Jun lalu. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, operasi khas yang dijalankan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Selangor itu turut berjaya menyelesaikan 21 kes jenayah serta melumpuhkan satu sindiket samun berkumpulan bersenjata yang aktif sejak 2023.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan berkumpulan, cubaan bunuh, merusuh dengan senjata, mendatangkan kecederaan menggunakan senjata serta khianat.

Katanya, modus operandi kumpulan terbabit adalah melakukan samun menggunakan parang dan senjata tajam dengan menyasarkan premis kediaman selain melakukan pelbagai jenayah serius bagi mendapatkan keuntungan material, kuasa dan pengaruh.

“Siasatan mendapati kumpulan berkenaan diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dengan keanggotaan seramai 17 orang berusia antara 20 hingga 34 tahun yang kebanyakannya merupakan penjenayah berulang.

“Kesemua suspek warga tempatan berusia antara 21 hingga 34 tahun itu kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 25 Julai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau kes kekerasan. 

Jelasnya, ia termasuk cubaan bunuh, rompakan berkumpulan, khianat, mendatangkan kecederaan dengan senjata, pecah rumah, ugutan jenayah, pemerasan, rusuhan bersenjata serta pelbagai kesalahan berkaitan dadah termasuk pengedaran.

“Kita turut mengenal pasti lima lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang dipergiatkan.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada 17 Julai lalu sebelum arahan pertuduhan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dikeluarkan terhadap kesemua suspek,” katanya. 

Kumar berkata, mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang esok mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Ujarnya, PDRM akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam jenayah, khususnya jenayah kekerasan, bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Orang ramai juga diseru terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN