PETALING JAYA: Enggan mengeruhkan keadaan, ibu kepada pelakon Zahirah MacWilson, Maslinda Yusoff, tidak mahu mengulas lanjut mengenai hantaran yang dimuat naik berhubung anaknya itu.
Menurut Maslinda, segala penjelasan yang dikongsikan sebelum ini mengenai hubungan dinginnya dengan Zahirah sudah memadai.
“Cukuplah apa yang saya sudah cakap di media sosial saya,” katanya ringkas kepada sebuah portal.
Dalam pada itu, Maslinda berkata, sebagai seorang ibu, dia kini menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT selepas mendakwa sudah berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki hubungan mereka.
“Saya serahkan semuanya kepada Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, Utusan Malaysia turut berusaha menghubungi Zahirah MacWilson bagi mendapatkan reaksinya, namun pelakon itu belum memberikan sebarang maklum balas.
Terdahulu, menerusi satu hantaran di media sosial, Maslinda mendakwa hubungannya dengan Zahirah mula renggang sejak Ogos 2024.
Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan bagi memulihkan hubungan mereka, namun menemui jalan buntu.
Keadaan itu didakwa bertambah buruk selepas dia menerima satu mesej daripada Zahirah yang mengguris hatinya sehingga mendorongnya berkongsi perkara tersebut di media sosial. -UTUSAN










