KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini, 50, menyarankan agar budaya kroni, pilih kasih dan politik di sekolah dihapuskan sebelum menjadi parah.
Rita berkata, ini kerana budaya tersebut merugikan anak-anak yang sedang menuntut ilmu.
“Tidak perlu jadi VIP untuk dihormati. Tidak perlu ada kabel untuk mendapat hak.
“Yang perlu dihapuskan bukan suara ibu bapa, tetapi budaya kroni, pilih kasih dan politik yang semakin dianggap biasa.
“Bila kroni, pilih kasih dan politik mula dianggap normal, yang rugi bukan ibu bapa… tetapi anak2 yg sedang belajar tentang kehidupan,” tulisnya dalam Thread.
Pemilik nama penuh Rita Rudaini Muhammad Mokhtar itu menegaskan dia tidak pernah menggunakan populariti untuk mendapatkan layanan yang baik di sekolah.
“Walaupun saya seorg selebriti, saya tidak pernah menggunakan nama atau status saya utk mendapatkan layanan istimewa di sekolah.
Saya berdiri sama seperti ibu bapa lain…ikut peraturan yang sah, bukan peraturan yang direka-reka mengikut kehendak pihak tertentu,” tulisnya lagi.
Dalam masa yang sama Rita berasa terkilan apabila dibiarkan berseorangan lebih-lebih lagi dalam berhadapan saman yang dikemukakan kepadanya baru-baru ini.
“Saya ada mata dan telinga, saya rela jadi suara ibu bapa seperti mana Yang berhormat dan menteri bawa suara rakyat.
”tapi bila kena saman, yang bising-bising minta tolong, semua lenyap, hilang. Tapi saya ok sahaja sebab saya pun selama ini selalu bersendirian, cuma niat ikhlas membantu,” katanya.










