Heritage Valley KL jana jualan RM4.6 juta dalam tempoh setahun - Utusan Malaysia

Heritage Valley KL jana jualan RM4.6 juta dalam tempoh setahun

STEVEN Sim Chee Keong (tengah) menyempurnakan perasmian Heritage Valley Kuala Lumpur diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, (dua dari kiri), Pengerusi UDA Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Annuar Zaini, (dua dari kanan), Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali (kanan) dan Pengarah Urusan Luxe Acre Sdn Bhd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Heritage Valley Kuala Lumpur, hab keusahawanan gaya hidup terbaru di bawah inisiatif Malaysian Entrepreneur Hub (MEH), mencatatkan jualan terkumpul melebihi RM4.6 juta dalam tempoh Ogos 2025 hingga Ogos lalu.

Pembangunan berharga RM9.7 juta di atas tapak seluas kira-kira 0.69 hektar di Jalan Doraisamy itu diterajui UDA Holdings Berhad (UDA) dengan kerjasama Luxe Acre Sdn. Bhd. (Luxe Acre) dan telah memberi manfaat kepada lebih 500 usahawan serta vendor tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Heritage Valley menjadi model terbaik bagaimana kawasan terbiar di tengah ibu kota boleh diaktifkan semula sebagai destinasi perniagaan dan aktiviti sosial anak muda.

“Cabaran utama usahawan mikro dan kecil bukannya modal semata-mata, tetapi akses kepada lokasi strategik yang mempunyai aliran pengunjung tinggi. Di kawasan bandar, kadar sewa biasanya di luar kemampuan mereka.

“Melalui Heritage Valley, kita menyediakan ruang niaga pada kadar sewa berpatutan dengan persekitaran bertaraf B40, supaya usahawan dapat membina perniagaan mereka hingga mencapai potensi B20,” katanya semasa majlis pelancaran Heritage Valley di sini, semalam.

Tambah beliau, kejayaan model Heritage Valley akan diperluaskan ke bandar-bandar utama seluruh negara menerusi kerjasama awam-swasta bagi memastikan usahawan tempatan tidak disisihkan ke kawasan terpencil.

Setakat ini, Heritage Valley menempatkan sebanyak 26 usahawan tetap di kiosk dan lot kedai dengan purata jualan RM8,000 hingga RM10,000 sebulan. 

Bagi tahun ini dan seterusnya, kemudahan 14 kedai pop-up baharu akan ditambah menjadikan keseluruhan 40 lot niaga, dengan sasaran jualan tahunan melebihi RM6.5 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, objektif utama projek berkenaan adalah untuk memberi impak jangka panjang kepada ekosistem perniagaan tempatan.

“Kejayaan Heritage Valley tidak diukur menerusi pembangunan fizikal atau kadar penghunian premis semata-mata, sebaliknya sejauh mana ruang ini mampu mencipta peluang baharu, menghubungkan masyarakat dan membimbing usahawan membina perniagaan mampan.

“Bagi memperluas manfaat ini, kita merancang menambah kiosk baharu untuk menyediakan lebih banyak ruang niaga kepada usahawan tempatan,” katanya.

Selain Heritage Valley, rangkaian MEH di bawah KUSKOP turut beroperasi di Morten Walk (Melaka) dan Santai Camp (Johor), manakala sebuah lagi hab di Kundasang, Sabah kini dalam fasa pembangunan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×