TELUPID: Empat individu maut selepas kenderaan jenis Proton Saga yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori jenis Isuzu di Kampung Gambaron, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Nurazlan Shah Jamaluddin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.28 pagi bagaimanapun identiti kesemua mangsa masih belum diperoleh.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum menghantar sepasukan tujuh anggota ke lokasi kejadian yang terletak 93 kilometer (km) dari balai.
“Setibanya pasukan di lokasi pada pukul 9.33 pagi, keempat-empat mangsa dalam kereta Proton Saga dikeluarkan anggota bomba dengan bantuan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan semua mangsa di dalam kereta Proton Saga itu meninggal dunia manakala pemandu lori mengalami kecederaan ringan.
“Tiada liputan telefon di lokasi kejadian dan maklumat semua mangsa belum diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua mangsa diserahkan kepada pihak polis dan operasi ditamatkan selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi berkenaan. – UTUSAN










