KUALA LUMPUR: Keluarga kepada jenazah yang dikaitkan isu lewat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang menafikan dakwaan mereka memalsukan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam.
Bapa Allahyarham, Muhammad Hasrul Ghazali, 41, menafikan kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang kononnya mahu Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam menguruskan jenazah anaknya, Siti Adawiyah, 14, yang meninggal dunia akibat komplikasi usus bocor.
Katanya, dia tidak pernah meminta pihak masjid menguruskan jenazah anaknya, sebaliknya segala urusan pengurusan jenazah dilakukan oleh Badan Kebajikan Salaturrahim (BKS).
“Selepas jenazah anak saya dibenarkan dibawa keluar dari Hospital Ampang, jenazah dibawa ke Surau An-Nur, Taman Cempaka untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan.
“Selepas itu saya pergi ke Masjid Nurul Hidayah untuk mendapatkan borang kebenaran pengebumian daripada seorang ahli jawatankuasa dikenali sebagai Ustaz Firdaus.
“Bagaimanapun, berlaku sedikit kekeliruan apabila saya diminta membawa salinan kematian berwarna biru ke tanah perkuburan, sebelum permit itu dipegang oleh seorang wanita yang juga ahli Lembaga Kariah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Hasrul mendakwa dia membawa jenazah anaknya ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana hanya dengan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam berwarna putih dan kuning yang berada dalam simpanan selepas menunggu agak lama.
Katanya, sebaik tiba di tanah perkuburan dan menunjukkan borang berkenaan, pekerja tanah perkuburan pada mulanya membenarkan pengebumian dijalankan.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian dua anggota polis datang dan seorang lagi pekerja tanah perkuburan memaklumkan pengebumian perlu dihentikan kerana terdapat laporan polis.
“Kami terpaksa menunggu kira-kira lebih satu jam sehingga pihak masjid salinan kematian berwarna biru sebelum jenazah anak saya akhirnya dapat dikebumikan dengan sempurna,” katanya.
Mengulas isu bayaran RM1,400, Muhammad Hasrul berkata, beliau hanya dimaklumkan pihak masjid akan mengeluarkan bil kepada waris sebelum bayaran itu dituntut semula daripada Badan Kebajikan Salaturrahim (BKS).
“Saya merupakan ahli BKS. Pihak masjid memaklumkan bahawa bil akan dikeluarkan kepada saya terlebih dahulu sebelum saya membuat tuntutan semula daripada BKS.
“Sehingga kini, saya juga tidak pernah dihubungi oleh pihak JAIS mahupun Masjid Nurul Hidayah, sama ada sebelum atau selepas kenyataan media berhubung isu ini dikeluarkan,” katanya. – UTUSAN










