KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak terlibat dengan rasuah, bersikap malas dalam menjalankan tugas atau meletakkan diri melebihi kepentingan tanah air.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, setiap pegawai yang memulakan kerjaya dalam ATM perlu memimpin dengan bijaksana, adil dan menjadi contoh terbaik kepada anggota bawahan kerana kepimpinan yang baik menjadi tunjang kekuatan sesebuah angkatan.
“Saudara dan saudari akan memulakan kerjaya sebagai seorang pegawai tentera yang menuntut kekuatan fizikal, akal fikiran, disiplin dan pengorbanan yang tinggi.
“Saudara dan saudari hendaklah memimpin dengan bijaksana, adil dan menjadi contoh yang baik kepada anggota bawahan.
“Ingat, tiada anggota tentera yang buruk, yang ada hanyalah pemimpin yang tidak baik.
“Awak semua adalah tonggak Angkatan Masa Hadapan.Oleh itu, jangan sekali-kali makan rasuah, malas bekerja atau meletakkan kepentingan diri sendiri lebih tinggi daripada kepentingan tanah air,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet ATM Tahun 2026 di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Sultan Ibrahim turut bertitah, kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap perolehan aset dan peralatan pertahanan berteknologi terkini dan menyokong struktur baharu ATM bagi merealisasikan konsep Angkatan Masa Hadapan.
Titah baginda, angkatan yang bakal dibentuk hendaklah menjadi sebuah pasukan yang lebih bersepadu dan berupaya menghadapi peperangan generasi kelima.
Menurut baginda, landskap keselamatan global dan serantau kini berubah dengan pantas, selain doktrin pertahanan turut mengalami perubahan seiring perkembangan teknologi, sekali gus menuntut transformasi strategik terhadap ATM.
“Sudah pasti setiap perubahan memerlukan anjakan yang radikal. Namun demikian, Angkatan Masa Hadapan adalah suatu keperluan strategik yang wajar dilaksanakan.
“Setiap perubahan hendaklah menuju ke arah kebaikan dan bukannya untuk mundur ke belakang.
“Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan supaya memberi keutamaan dalam perolehan peralatan berteknologi tinggi dan menyokong struktur baru ATM,” katanya.
Seramai 566 Pegawai Kadet ATM membabitkan 466 lelaki dan 100 wanita ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada istiadat berkenaan.
Daripada jumlah itu, 438 pegawai menyertai Tentera Darat Malaysia (373 lelaki, 65 wanita), 111 pegawai menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (97 lelaki, 14 wanita) manakala 117 lagi menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (96 lelaki, 21 wanita).
Daripada keseluruhan pegawai yang ditauliahkan, seramai 205 merupakan graduan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Seramai 361 lagi pegawai ialah lepasan ijazah dari universiti tempatan dan luar negara yang menjalani latihan di Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris I (KDSI I) dan Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai (KTU-SLP).- UTUSAN










