SHAH ALAM: Penyanyi, pelakon dan usahawan, Datuk Fazley Yaakob, tidak menafikan penyanyi, Datuk Seri Vida mempunyai ciri-ciri isteri sempurna yang diidamkan lelaki.
Fazley, 47, mengakui kagum dengan cara wanita itu yang tidak segan menunjukkan kemesraan kepada dua anaknya iaitu Cik B dan Kacak.
“Pada saya Datuk Seri Vida itu memang menepati ciri-ciri seorang isteri yang sempurna. Saya tengok cara dia menjaga Cik B dan Kacak, saya sangat kagum sebab bercium-ciuman dengan anak.
“Saya juga kagum kelebihan Datuk Seri Vida terutama dalam bab agama dan perniagaan. Jadi memang dia menepati ciri-ciri seorang isteri yang baik untuk sesiapa saja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di konsert minggu ketujuh, Talk To My Manager (TTMM), di Auditorium MBSA pada Ahad.
Bagaimanapun, Fazley berkata buat masa ini hubungannya dengan Vida hanyalah sekadar kawan memandangkan masing-masing merupakan peserta TTMM.
“Saya berkawan dengan semua mak-mak di TTMM. Cuma apa yang lucu bila anak-anak cakap ramai ibu ‘single’, tapi bapanyang single hanya saya sahaja.
“Saya pun tak dapat nak mengelak daripada anak-anak memperkatakan tentang benda yang menarik di mata mereka.
“Tapi jujur saya cakap, saya masih single dan semua mak-mak dalam TTMM masih single juga. Saya tidak boleh menolak jodoh dengan siapa juga.
“Saya tidak menolak sesiapa juga menjadi jodoh saya. Kalau dia kulit gelap ke, tak putih ke, kalau anak-anak terima, saya okey saja,” katanya.
Mengulas kehadirannya bersama Vida di konsert penyanyi, Nourul baru-baru ini, Fazley bagaimanapun menegaskan tidak bermaksud mempunyai niat istimewa.
“Saya menggantikan Datuk A Aida yang tak dapat hadir, semalam hanya kami sahaja di ruangan khas tak dapatlah nak lari daripada pandangan umum.
“Sebab tu saya buat statement (kenyataan) hari ini, saya kata saya dijemput secara tak sengaja.
“Cuma yang lucu, ada yang buatkan hashtag iaitu Didalavida. Kami hanya berkawan sahaja sama macam orang lain,” katanya. -UTUSAN










