JOM konvoi ke Kampung Janda Baik! Pada mulanya tidak teruja pun saya dengan ajakan Alfian, rakan daripada BMW Motorrad Ara Damansara.
Yalah, kampung terletak di Bentong, Pahang itu bukanlah asing sangat. Dari rumah saya di Ampang, Selangor lebih kurang 45 kilometer sahaja.

Seperti ungkapan geng motosikal sering gunakan – belum sempat panas punggung sudah sampai! Selalu sangat saya ke situ.
Bagaimanapun, bertandang ke Kampung Janda Baik kali ini rasa lain. Kami menyusuri hingga ke Hulu Chemperuh yang terletak di penghujung kampung.
Kalau tadi menempuh hingar-bingar metropolitan dan kesesakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, kini suasana perlahan-perlahan berubah. Semakin jauh ke dalam, semakin tenang dirasakan, seolah-olah memasuki terowong masa dan pergi ke zaman lain pula!
Ya, itulah vibe positif yang menanti setiap pengunjung ke Kopi Village 24. Sama seperti cawangan utamanya di Gombak, Kuala Lumpur, lokasi kafe di sini juga dipilih kerana kehijauan sekeliling dan suasana kampung.

Lokasi: Kampung Orang Asli Hulu Chemperuh, Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang.
Waktu operasi:
Isnin, Rabu, Khamis – 8 pagi hingga 5 petang.
Jumaat hingga Ahad – 8 pagi hingga 12 tengah malam.
Selasa tutup.
Sebab itulah dinamakan Kopi Village manakala nombor 24 bermaksud 2024 iaitu tahun cawangan pertamanya mula beroperasi.
Menurut Pengurus Operasinya, Muhammad Ammarul Aufa, ibunya yang merupakan pemilik kafe memang sukakan suasana alam semula jadi berdekatan hutan.
“Sejak dibuka hampir setahun, kafe ini sering dikunjungi kumpulan bermotosikal pada hujung minggu, juga mereka yang berkeluarga,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Saya pilih menu English breakfast dan lempeng kelapa cecah sambal bilis sebagai sarapan. Tiada apa saya nak kompelin tentang rasanya, sebab sedap!
Saya juga cuba roti jala kuah kari ayam, pun enak. Lantas saya tanya pada Muhammad Ammarul, siapa gerangan tukang masak yang membuatkan setiap hidangan hampir sempurna rasanya?
Jawabnya, setiap hidangan menggunakan resipi turun-temurun keluarga sebelah ibu. Ibunya yang berdarah kacukan Siam dan Cina belajar daripada nenek yang mempunyai kedai makan di Thailand. Patutlah rasa lain daripada yang lain.

Lokasi: Kampung Orang Asli Hulu Chemperuh, Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang.
Waktu operasi:
Isnin, Rabu, Khamis – 8 pagi hingga 5 petang.
Jumaat hingga Ahad – 8 pagi hingga 12 tengah malam.
Selasa tutup.
Menu sarapan lain adalah nasi lemak ayam rendang atau telur mata, sup cendawan dan roti bakar dengan telur separuh masak.
Kopi Village 24 turut menyediakan makan tengah hari. Antara sajian istimewanya adalah set asam pedas kembung, pari atau ayam, juga chicken chop.
Ada juga hidangan Barat lain seperti spageti bolognese, aglio olio, smash burger beef dan bebola daging Swedish, selain chicken buttermilk dan salted egg chicken dihidangkan bersama nasi.
Minuman paling dapat sambutan pula adalah buttercream latte, caramel macchiato dan sparkling strawberry.
Makan dan minum sambil duduk di atas camper chair, tidak terasa pun lenguh kerana hembusan angin sepoi-sepoi bahasa dari arah bukit cukup menyamankan. Apatah lagi sambil berborak dengan kawan-kawan, tidak sedar masa berlalu.
Ditambah landskap di halaman kafe direka bentuk oleh ibu Muhammad Ammarul dihias pohon-pohon rendang yang sejuk mata memandang. Kalau datang pada musim buah, boleh petik sahaja langsat, manggis dan mata kucing yang memang ditanam di situ.
Tidak mahu duduk di kawasan terbuka, pengunjung boleh pilih untuk makan di bahagian dalam kafe di mana dekorasinya berkonsepkan Bali dan moden. Susun atur perabot juga oleh ibu Muhammad Ammarul.
Punyalah ralit melepak hingga tidak sedar sudah hampir dua jam kami di situ. Rasa malas pula hendak pulang sebab kena hadap hutan batu, bukan lagi kehijauan alam semula jadi. Pastinya saya akan datang lagi untuk menikmati menu lain pula.
Kopi Village 24 dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin, Rabu serta Khamis dan 8 pagi hingga 12 tengah malam dari Jumaat hingga Ahad, manakala Selasa tutup.-UTUSAN










