UMT lonjak kedudukan ke kelompok 701–710 universiti terbaik dunia

UMT lonjak kedudukan ke kelompok 701–710 universiti terbaik dunia

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila melonjak ke kedudukan 701 – 710 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2027
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila melonjak ke kedudukan 701 – 710 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2027, berbanding kedudukan 801–850 dunia yang dicapai pada tahun sebelumnya.

Pencapaian itu meletakkan UMT dalam kalangan hampir 47 peratus universiti terbaik dunia, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang semakin menyerlah di peringkat antarabangsa.

Lebih bermakna, kejayaan tersebut hadir ketika UMT meraikan Jubli Perak 25 Tahun penubuhannya, menjadikan pengiktirafan berkenaan sebagai simbol kematangan dan perkembangan universiti sepanjang dua setengah dekad dalam memperkasakan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan negara.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha kolektif seluruh warga universiti yang sentiasa komited dalam memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan jaringan kerjasama antarabangsa.

“Pencapaian ini amat istimewa kerana hadir ketika UMT meraikan Jubli Perak 25 Tahun penubuhannya. Ia bukan sahaja menjadi simbol kejayaan yang dicapai sepanjang perjalanan universiti ini, malah membuktikan bahawa UMT terus berkembang sebagai institusi pendidikan tinggi yang relevan, progresif dan mampu bersaing di pentas
antarabangsa.

“Dalam usia 25 tahun, UMT telah berjaya membina reputasi yang kukuh dalam bidangtujahan strategiknya, khususnya marin, perikanan, akuakultur dan kelestarian lautan. Kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kami melangkah lebih jauh ke arah kecemerlangan global,” katanya.

Menurut beliau, pencapaian tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan warga UMT dalam memperkasakan penyelidikan berimpak tinggi, memperluas kolaborasi antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan mampan sejajar dengan aspirasi universiti dan negara.

Berdasarkan laporan QS WUR 2027, UMT menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam beberapa indikator utama yang dinilai. Antaranya ialah indikator Citations per Faculty (CPF) yang mengukur impak dan pengaruh penyelidikan berdasarkan bilangan sitasi yang diterima oleh penerbitan akademik universiti.

Dalam indikator tersebut, UMT berada dalam kelompok tujuh universiti terbaik di Malaysia dengan indeks sitasi per staf akademik sebanyak 159.5, jauh mengatasi median global iaitu 59.9, sekali gus membuktikan kualiti serta pengaruh penyelidikan yang dihasilkan oleh para akademiknya.

Selain itu, UMT turut mencatat prestasi kukuh dalam indikator International Research Network (IRN) dengan skor 67.5, manakala indeks IRN universiti sebanyak 48.5 turut mengatasi median global 41.0. Pencapaian itu mencerminkan keupayaan universiti membina jaringan penyelidikan yang luas dan aktif bersama institusi serta penyelidik dari seluruh
dunia.

Dalam aspek kelestarian pula, UMT merekodkan skor 63.9 bagi indikator Sustainability, sekali gus menempatkannya dalam kalangan 10 universiti terbaik Malaysia dalam aspek berkenaan.

Prestasi itu mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) menerusi penyelidikan, pendidikan dan pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat serta alam sekitar.

Pencapaian tersebut selari dengan peranan UMT sebagai universiti yang memberi tumpuan kepada bidang marin, perikanan, akuakultur dan kelestarian lautan, yang menjadi antara bidang tujahan strategik universiti sejak penubuhannya.

Dalam tempoh penilaian QS WUR 2027, UMT merekodkan lebih 6,900 penerbitan saintifik dan melebihi 100,000 sitasi ternormal, mencerminkan keupayaan universiti menghasilkan penyelidikan yang relevan dan berimpak tinggi kepada komuniti akademik global.

Pada masa sama, universiti itu terus memperkukuh hubungan strategik dengan industri, meningkatkan keterlihatan antarabangsa dan memperluas kerjasama penyelidikan sebagai sebahagian daripada agenda transformasi institusi.

Data QS turut menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan UMT berada pada tahap memberangsangkan iaitu 92.1 peratus, mencerminkan keupayaan graduan universiti itu memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Mohd Zamri berkata, kejayaan dalam QS WUR 2027 akan menjadi pemangkin kepada UMT untuk terus memperkukuh budaya kecemerlangan, meningkatkan daya saing global dan memperluas impak penyelidikan demi manfaat masyarakat.

“UMT akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti rujukan dalam bidang marin dan sains akuatik serta menyokong agenda Ekonomi Biru dan pembangunan mampan negara.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa universiti yang berteraskan kekuatan dalam bidang marin dan sains akuatik mampu bersaing di peringkat global serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ilmu, inovasi dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN