MERSING: Selepas empat dekad menanti dan berkorban demi semangat setiakawan Barisan Nasional (BN), impian UMNO untuk kembali bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh akhirnya menjadi kenyataan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tuntutan untuk meletakkan calon UMNO di kerusi tradisi MIC itu bukanlah satu proses yang mudah, sebaliknya menuntut pengorbanan besar di kawasan lain demi mengekalkan prinsip perkongsian kuasa parti komponen.
Menurutnya, DUN Tenggaroh sebelum ini ditandingi MIC selama 40 tahun berturut-turut namun jentera UMNO tidak pernah sekali pun mengasingkan diri atau merajuk setiap kali musim pilihan raya tiba.
“Selama 40 tahun UMNO minta kerusi ini (DUN Tenggaroh) betul atau tidak? Dan setiap kali pilihan raya tak dapat, UMNO tak pernah merajuk, tetap berjuang untuk BN dan DUN Tenggaroh tak pernah kalah, betul tak?
”Terus setia dengan perjuangan. Sebab itu, saya berterima kasih dengan jentera-jentera di peringkat DUN Tenggaroh. Rakan-rakan MIC jangan merajuk. Dekat sini, di kawasan DUN Tenggaroh, ada 500 pengundi India daripada 38,000 pengundi. Jadi, ini bukan isu perkauman.
“Kita dalam semangat BN, ada istilah perkongsian kuasa. Bila Tenggaroh minta merayu dengan saya, saya tak tergamak nak menolak. Dalam semangat perkongsian kuasa, bila kita bawa keluar satu parti komponen, kita kena letak parti komponen itu di kerusi lain,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Jentera BN Mersing di Command Centre BN Taman Lautan Biru, hari ini.
Onn Hafiz berkata, DUN Tenggaroh sebelum ini dimenangi dengan majoriti sekitar 1,300 undi, namun dengan kembalinya calon UMNO selepas 40 tahun itu angka tersebut wajib digandakan.
”Kalau dulu kita menang dalam majoriti 1,300, kali ini takkan kita menang 1,300? Kita gandakan, boleh? Target kita sekarang, bukan saja kita menang, kita menang dengan majoriti 3,000 undi selepas ini,” katanya. – UTUSAN










