UMNO tiada hasrat hidupkan semula Muafakat Nasional

UMNO tiada hasrat hidupkan semula Muafakat Nasional

AHMAD Zahid Hamidi sewaktu berucap pada Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO tidak berhasrat menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) kerana menganggap kerjasama tersebut sudah berakhir dan tidak lagi menjadi agenda parti itu.

Pengerusi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, MN yang sebelum ini diwujudkan menerusi kerjasama UMNO dan Pas juga telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) oleh pihak tertentu.

Menurut beliau, perkara itu sekali gus menutup ruang untuk sebarang usaha menghidupkan semula gagasan berkenaan sama ada dalam bentuk asal mahupun versi baharu.

“Muafakat Nasional telah didaftarkan sebagai NGO oleh seseorang. Jadi, kami tidak langsung mempunyai niat dan tidak berhasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional sama ada versi 1.0 atau 2.0.

“Itu telah muktamad. Kita telah tutup buku,” katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan dan spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama politik antara UMNO dan Pas melalui platform Muafakat Nasional menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ia juga susulan, Pas mengumumkan keputusan untuk mengakhirkan hubungan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam.

Sebelum ini juga, Ahmad Zahid mengesahkan terdapat pertemuan antara pemimpin Pas dan UMNO bagi membincangkan kerjasama yang boleh dilakukan bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.

Bagaimanapun, perbincangan itu tidak membabitkan presiden parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN