PETALING JAYA: Kajian strategi perubahan gaya hidup, penghasilan produk ulam raja dan aplikasi digital bagi mengurangkan serta mengenal pasti risiko awal demensia antara penyelidikan yang sedang dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan geran peruntukan RM10 juta.
Dekan Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UKM, Prof. Dr. Suzana Shahar berkata, penyelidikan berkenaan telah bermula sejak 2012 dan kini berkembang menjadi salah satu kajian penuaan paling komprehensif dengan lebih 2,000 sampel dari pelbagai wilayah di Semenanjung Malaysia.
Katanya, walaupun demensia tidak mampu diubati sepenuhnya namun pencegahan boleh dilaksanakan melalui beberapa penyelidikan yang sedang dibangunkan bagi membantu mengesan risiko awal penyakit berkenaan.
“Walaupun demensia tidak boleh diubati, laporan Lancet Commission mendapati sebanyak 40 peratus kes boleh dikurangkan risikonya sekiranya faktor-faktor risiko diberi perhatian serius.
“Kebanyakan faktor ini berkait rapat dengan amalan gaya hidup seperti corak pemakanan, aktiviti fizikal, pengurusan emosi dan pencegahan penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi serta penyakit jantung.
“Kami sedang memberi tumpuan kepada kajian strategi perubahan gaya hidup, menghasilkan produk suplemen berasaskan ulam raja dan aplikasi digital yang mampu mengesan dan mengurangkan risiko demensia,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Simposium Antarabangsa Sains Kesihatan di ibu negara hari ini.
Beliau mengharapkan penyelidikan tersebut dapat diperluaskan ke Sabah dan Sarawak sekiranya peruntukan geran tambahan diperoleh pada masa hadapan.
Katanya, buat masa ini pihak fakulti telah menerima geran berjumlah RM10 juta daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Kami menerima beberapa geran penyelidikan berskala besar, antaranya daripada KPT melalui Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) bernilai RM5 juta untuk fasa pertama dan kedua yang menjadikan keseluruhan projek tersebut bernilai kira-kira RM10 juta.
“Baru-baru ini pula, kami berjaya memperoleh geran daripada Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia )Mastic) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebanyak RM1.8 juta khusus untuk projek ini,.
“Bagaimanapun, kami sentiasa berusaha memohon geran, menjalankan penyelidikan serta menjalinkan kerjasama dengan rakan industri termasuk Pantai Integrated Rehab yang menyokong produk kami untuk mengetengahkan aspek saringan risiko serta langkah pencegahan melalui perubahan gaya hidup,” katanya. – UTUSAN










