Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka menganjurkan program khidmat masyarakat bersama komuniti Orang Asli di Kampung Paya Sendayan, Kuala Krau, Temerloh, baru-baru ini.
Program anjuran Kelab Orang Asli di bawah Perwakilan Pelajar Kolej Mat Kilau UiTM itu melibatkan kira-kira 50 pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang dan diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Sendayan dengan pengisian berteraskan pembangunan sahsiah serta motivasi pendidikan.
Penolong Pendaftar UiTM Cawangan Pahang merangkap Penasihat Kelab Orang Asli, Wan Rozila Wan Abdullah berkata, program berkenaan bertujuan memperkasa pembangunan diri pelajar
Orang Asli selain meningkatkan keyakinan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Menurut beliau, pihaknta sentiasa komited melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kepekaan tinggi terhadap keperluan masyarakat setempat.
“Program ini bukan sekadar aktiviti sukarelawan, malah menjadi platform mendekati komuniti serta menyemai semangat motivasi dalam kalangan pelajar Orang Asli agar terus yakin mengejar cita-cita,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Sepanjang dua hari program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif dan inklusif dilaksanakan bagi memastikan penglibatan peserta, termasuk slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang memberi penekanan terhadap aspek kerja berpasukan, kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
Program turut diserikan dengan ceramah motivasi, persembahan pelajar UiTM serta pelajar Orang Asli yang mengetengahkan keunikan budaya sekali gus mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat. –UTUSAN









