PETALING JAYA: Penyanyi, Amira Othman meluahkan rasa terkilan terhadap sikap segelintir netizen yang tergamak mengeluarkan kata-kata negatif terhadap anaknya, Jarir Umar, malah sejak dia masih dalam kandungan.
Menurut Amira, ada dalam kalangan individu yang mengeluarkan kata-kata tersebut turut bergelar ibu, sekali gus membuatkan dirinya tertanya-tanya bagaimana mereka sanggup berbuat demikian terhadap seorang anak yang tidak berdosa.
“Kalau baca komen-komen itu, memang melampau. Anak saya tidak bersalah, dalam kandungan lagi sudah ada yang bercakap bukan-bukan mengenainya.
“Namun, doa yang tidak baik tidak akan termakbul pun. Cuma pada saya, jagalah percakapan. Kadang-kadang saya tengok mereka yang bercakap ini pun seorang ibu dan mempunyai anak.
“Bagaimana boleh tergamak mengeluarkan kata-kata seperti itu? Kita pun ada anak dan keturunan. Kita juga tahu bahawa kita boleh diuji dengan apa yang kita sendiri perkatakan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya, Jarir Umar, pada Jumaat.
Pun begitu, isteri kepada pelakon, Fattah Amin tersebut turut mendoakan agar individu yang melemparkan kata-kata negatif terhadap keluarganya dikurniakan kebahagiaan sehingga tidak lagi berasa iri hati melihat kehidupan orang lain.
“Mudah-mudahan Allah memberikan mereka kebahagiaan supaya mereka tidak berasa iri melihat kebahagiaan orang lain sehingga mengeluarkan kata-kata yang bukan-bukan.
“Kehidupan kita berbeza, takdir kita juga berbeza. Kalau tidak ada perkara baik yang mahu diperkatakan, tidak perlulah bercakap. Kasihan, suatu hari nanti anak-anak kita boleh membaca segala perkara yang ditulis itu.
“Saya hanya mampu berdoa kerana tidak boleh mengawal mulut orang. Apa yang penting, saya tidak pernah berbuat jahat terhadap mereka yang bercakap mengenai saya. Saya sendiri tidak mengenali mereka.
“Sama ada mereka menggunakan akaun palsu atau sebenar, saya serahkan semuanya kepada Allah. Mudah-mudahan Allah melindungi anak-anak kita semua,” kongsinya.
Mengakui sudah lali berdepan kecaman sepanjang bergelar anak seni, sebagai seorang ibu, Amira tetap akan melindungi putera kesayangannya daripada menjadi sasaran kebencian.
“Kalau marah sangat dengan saya, jumpalah saya. Jangan libatkan anak saya kerana budak itu tidak berdosa. Bayangkan, belum dilahirkan lagi pun sudah ada yang bercakap bukan-bukan mengenainya.
“Kita orang Islam, tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata seperti itu. Kalau kita percaya kepada qada dan qadar serta takut dengan balasan Allah, kita tidak akan tergamak melakukannya, sekalipun menggunakan akaun palsu.
“Tidak perlulah berselindung di sebalik akaun palsu. Kepada mereka yang gemar mengeluarkan kata-kata tidak baik ini, kalau boleh, sudah-sudahlah,” tegasnya. – UTUSAN










