PETALING JAYA: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mencadangkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar membuat laporan polis susulan penularan kenyataan media yang didakwa palsu.
Tun Faisal berkata, kenyataan media berkenaan tular malam tadi dan didakwa disiarkan menerusi akaun Facebook milik Ahmad Samsuri.
Katanya, kenyataan itu antara lain menyebut bahawa PN tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Tidak berapa lama selepas itu, hantaran mengenai kenyataan media tersebut hilang dan digantikan dengan hantaran yang baru, kenyataan media Ahmad Samsuri mengenai keputusan-keputusan Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN.
“Kali ini kandungannya berbeza tanpa butiran, ‘PN tidak akan menyertai PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka’
“Tidak semena-mena selepas itu laman facebook rasmi PN mengeluarkan hantaran bahawa kenyataan media yang tular sebelum ini sebagai FAKE atau PALSU.
“Sedangkan sudah ada beberapa orang saksi yang kata mereka memperoleh kenyataan media itu daripada halaman Ahmad Samsuri Mokhtar. Malah mereka telah menangkap layar hantaran tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – UTUSAN










