Tukang kebun didakwa bunuh teman lelaki bekas kekasih - Utusan Malaysia

Tukang kebun didakwa bunuh teman lelaki bekas kekasih

MOHAMMAD Farizzal Fazly Mohd. Zulkifly dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah hari ini bagi menghadapi pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam kejadian yang berlaku minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Seorang tukang kebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam kejadian yang berlaku minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Farizzal Fazly Mohd. Zulkifly, 30, didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Muhammad Fahmi Abdullah, 29.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di tepi jalan utama, Jalan Trans Perak di dalam daerah Perak Tengah antara pukul 4.30 hingga 5.49 pagi, 10 Jun 2026.

Mohammad Farizzal Fazly mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Jagdeep Singh Jaswant Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 20 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu serahan dokumen dan laporan bedah siasat.

Difahamkan, Mohammad Farizzal Fazly juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan cubaan merogol bekas teman wanitanya pada hari sama di Seberang Perak, Kampung Gajah.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut akibat ditikam dalam satu kejadian pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki yang beralamat di Batu Kikir, Negeri Sembilan ditahan dalam tempoh 24 jam selepas dipercayai menikam mangsa hingga maut.

Suspek ditangkap ketika cuba melarikan diri di Terminal Bas Perlis Sentral di Kangar, Perlis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN