TREND pendakian singkat atau ‘compress hike’ yang semakin popular dalam kalangan pendaki terutama di laluan ekstrem kini dilihat mengundang risiko keselamatan yang lebih tinggi.
Ini kerana budaya pendakian yang memendekkan tempoh perjalanan kepada hanya satu pertiga daripada jadual asal itu semakin mendapat tempat kerana menawarkan cabaran dan kepuasan maksimum kepada peserta.
Bagi Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad, konsep tersebut tidak sesuai untuk semua pendaki, malim gunung mahupun laluan pendakian kerana memerlukan tahap kecergasan, pengalaman dan persediaan yang tinggi.
“Pendakian compress ini berkonsepkan high risk, high reward. Ia menjadi buruan sebahagian pendaki yang mahu mencapai sesuatu pencapaian luar biasa dalam tempoh singkat.
“Namun ia bukan sesuatu yang munasabah dilakukan tanpa persediaan rapi, peralatan yang sesuai dan panduan yang betul. Bukan semua orang layak menyertainya, bukan semua malim layak membimbingnya dan bukan semua lokasi sesuai untuk aktiviti seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muzafar mengulas trend compress hike yang semakin mendapat perhatian susulan kehilangan seorang pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih di Tapah sejak 24 Mei lalu.
Antara risiko utama pendakian compress adalah pergerakan peserta yang menjadi semakin pantas sehingga menyebabkan kumpulan mudah berpecah dan terpisah antara satu sama lain.
Situasi itu berbeza dengan pendakian biasa yang mengutamakan pergerakan secara berkumpulan, kawalan kelajuan yang seragam dan pemeriksaan kehadiran peserta di setiap hentian.
Kata Muzafar, dalam pendakian biasa, peserta bergerak bersama-sama dan ada tempat berkumpul yang ditetapkan. Tetapi dalam compress hike, peserta cenderung mengejar masa dan sasaran.
“Apabila pergerakan semakin laju, risiko melakukan kesilapan juga meningkat. Dalam masa sama, peralatan yang dibawa biasanya lebih minimum bagi mengurangkan beban, sekali gus mengurangkan keupayaan untuk bertahan sekiranya berlaku kecemasan dalam hutan,” katanya.
Budaya mengejar rekod dan masa terpantas turut menyebabkan aspek keselamatan kadangkala diketepikan.
Budaya asal pendakian seperti bergerak secara berpasangan, mengawal kelajuan mengikut kemampuan kumpulan dan berkumpul setiap satu jam mula diabaikan.
“Apabila terlalu mengejar masa, risiko tersesat atau berlakunya kecederaan akan menjadi lebih tinggi,” katanya.
Mengenai laluan Trans Spencer Chapman, beliau berpandangan laluan sepanjang lebih 30 kilometer itu tidak sesuai dijadikan pendakian harian bagi kebanyakan pendaki.
Katanya, laluan berkenaan lazimnya mengambil masa antara empat hingga lima hari untuk diselesaikan, namun kini ada pihak yang cuba menamatkannya dalam tempoh sekitar 24 jam.
“Bagi atlet atau pendaki berpengalaman, mungkin ia satu cabaran yang menyeronokkan. Tetapi ia bukan untuk semua orang.
“Jika ada ahli kumpulan yang mengalami masalah kesihatan atau tidak mampu meneruskan perjalanan, seluruh kumpulan sepatutnya berhenti dan keluar bersama-sama, bukannya meneruskan perjalanan semata-mata mahu mengejar sasaran masa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar satu garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) khusus diwujudkan bagi mengawal selia aktiviti compress hike terutama di laluan-laluan ekstrem.
Menurutnya, garis panduan tersebut boleh merangkumi aspek kelayakan peserta, tahap kecergasan, pengalaman pendakian, kesesuaian malim gunung, tempoh minimum pendakian dan keperluan peralatan keselamatan.
“Saya tidak menentang compress hike. Saya juga tidak mahu menafikan peluang pendapatan kepada malim atau keseronokan kepada pendaki.
“Cuma perlu ada garis panduan yang jelas supaya semua pihak dapat masuk ke hutan dengan selamat dan pulang kepada keluarga masing-masing dengan selamat,” katanya. – UTUSAN










