PETALING JAYA: Tiada sebarang pertambahan kos bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam (LRT3) walaupun projek itu mengalami kelewatan akibat isu pengintegrasian sistem yang dikesan semasa ujian dijalankan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, projek tersebut dilaksanakan di bawah kontrak harga tetap sekali gus memastikan kerajaan tidak menanggung kos tambahan susulan kelewatan berkenaan.
Beliau berkata, isu pengintegrasian sistem dikenal pasti ketika ujian sistem dijalankan dan proses pengujian secara berulang diteruskan sehingga semua masalah teknikal berjaya diselesaikan bagi menjamin keselamatan pengguna serta kelancaran operasi tren.
“Projek LRT 3 Shah Alam telah mengalami kelewatan berikutan isu pengintegrasian sistem yang dikesan semasa ujian sistem dijalankan. Ujian-ujian integrasi ini dijalankan secara iteratif sehingga isu tersebut berjaya diselesaikan bagi menjamin keselamatan pengguna dan kelancaran operasi tren.
“Ingin dijelaskan tiada penambahan kos memandangkan projek ini adalah projek kontrak harga tetap malah kontraktor berhadapan denda lewat siap dan delay damages (ganti rugi tertentu) sebanyak RM2.729 juta sehari
“Projek LRT 3 merupakan antara pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuhkan infrastruktur pengangkutan awam negara.
“Kerajaan harap pembukaan ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan pengangkutan awam di negara ini,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang meminta kerajaan menjelaskan mengapa pelaksanaan projek LRT 3 terus berdepan kelewatan dan pertambahan kos sehingga menimbulkan persoalan terhadap kecekapan kerajaan dalam mengurus projek pengangkutan awam.
Tambah Hasbi, kerajaan sememangnya telah merancang fasa kedua pembangunan LRT3.
“Kita mempunyai fasa kedua projek ini, sekarang ini adalah sampai 2030. Perancangan fasa kedua adalah untuk menambah lima stesen dan tujuh set train.
“Platform yang dibina ketika ini juga direka untuk menampung penambahan kapasiti pada masa hadapan. Pada asalnya, platform itu dirancang bagi operasi tren enam gerabak, namun selepas kajian ia disesuaikan kepada empat gerabak.
Buat masa ini, tren yang digunakan hanya mempunyai tiga gerabak. Ini bermakna masih terdapat ruang untuk menambah bilangan gerabak apabila keperluan dan jumlah penumpang meningkat pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










