60,000 dijangka guna LRT-Laluan Shah Alam esok

60,000 dijangka guna LRT-Laluan Shah Alam esok

LRT-Laluan Shah Alam
ANWAR Ibrahim melancarkan LRT-Laluan Shah Alam sambil disaksikan oleh Anthony Loke pada majlis pelancarannya di Depoh LRT Johan Setia, Klang. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lebih 60,000 pengguna dijangka menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam (LRT3) yang akan mula beroperasi esok dan dibuka secara percuma selama sebulan sehingga 31 Julai ini.

Kemudahan itu boleh diakses melalui 20 stesen disepanjang 37.8 kilometer dari Johan Setia, Klang yang menghubungkan dengan Bandar Raya Shah Alam dan Bandar Utama, Petaling Jaya.

Tempoh percuma tersebut turut diberikan bagi penggunaan bas perantara di setiap stesen manakala pengguna yang melanggan kemudahan tambang My50 juga boleh mengakses kemudahan tren itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembukaan laluan tersebut merupakan antara kesungguhan kerajaan dengan kerjasama swasta bagi memastikan pengangkutan awam menjadi tumpuan dan memberikan kelegaan kepada rakyat.

Katanya, pengangkutan awam perlu diberi perhatian kerana ia secara automatik akan menjadi tumpuan dalam kemajuan sesuatu kawasan serta perlu dibangun dan ditingkatkan dengan segera.

“Kita mahu sementara Malaysia ini maju, tetapi pengangkutan itu akan menjadi tumpuan dengan sendirinya, seperti lebuh raya, kereta api, LRT, pelabuhan dan semua itu perlu ditingkatkan segera.

“Sebab itu rakan-rakan dalam Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) dan kementerian harus ingat pertama kita sudah tetapkan keutamaan dan kedua memastikan pengurusan mereka cekap. Hentikan amalan-amalan yang merosakkan prestasi dan memastikan pengurusan di tahap terbaik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran LRT-Laluan Shah Alam di sini, hari ini.

LRT laluan baharu itu akan dioperasikan oleh 22 unit tren yang setiap satunya mempunyai tiga gerabak pada kekerapan setiap perjalanan sekitar tujuh setengah minit pada waktu puncak, 10 minit pada waktu senggang dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Setiap tren mampu memuatkan sehingga 624 penumpang dalam satu-satu masa dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya.

Dalam tempoh empat tahun akan datang, lima lagi stesen dijangka akan dibina iaitu Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik serat penambahan tujuh set tren.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan kadar penggunaan pengangkutan awam itu akan dipantau bagi meningkatkan kekerapan perjalanan dan menambah jumlah tren jika diperlukan.

“LRT-Laluan Shah Alam juga boleh menghubungkan penumpang kepada laluan-laluan lain seperti Transit Aliran Massa (MRT) apabila tiba di Bandar Utama. Ia merupakan laluan penting yang boleh memberikan pilihan kepada penduduk,” ujarnya.

Tahun lalu, LRT laluan tersebut yang sepatutnya mula beroperasi pada 1 Mac 2025 berdepan beberapa kali penangguhan selepas pandemik Covid-19 selain kesemua 22 set tren perlu menjalani semula ujian larian tanpa gagal susulan masalah teknikal dihadapinya.

LRT3 sebelum ini diumumkan pembinaannya dengan kos mencecah RM31.65 bilion pada 2015, namun dikurangkan kepada RM16.63 bilion pada 2018 dengan mengambil kira pembatalan pembinaan lima stesen.

Bagaimanapun, peruntukan tambahan sebanyak RM4.7 bilion diberikan bagi memulihkan skop asal projek supaya jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang diwujudkan secara lebih menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN