SHAH ALAM: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Bandar Utama, Damansara hingga ke Johan Setia, Klang tidak akan memulakan operasinya pada tahun ini.
Bagaimanapun, tiada tarikh atau jangkaan spesifik mengenai tarikh mula operasinya apabila 18 daripada 22 set tren masih dalam ujian larian tanpa gagal (FFR) tren utamanya atau ‘Golden Train’ sudah pun melepasi pemanduan tanpa henti sejauh 4,000 kilometer (km).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan berkata, beliau mengesahkan penangguhan pembukaannya berdasarkan perkembangan terkini status pengangkutan awam berkenaan.
Katanya, penangguhan tersebut penting bagi membolehkan keseluruhan proses ujian dilakukan sebelum pentauliahan dilakukan untuk dibuka kepada awam bagi mengelak isu berkaitan keselamatan dan ketidakselesaan pengguna.
“Sepanjang FFR bermula pada 26 Ogos lalu, beberapa isu teknikal melibatkan aspek keselamatan, operasi dan prestasi dikenal pasti yang memerlukan tindakan pembetulan oleh pihak terlibat khususnya daripada pembekal utama, Siemens, kontraktor tren (LRV) dan Setia Utama LRT3 Sdn. Bhd. (SULRT3).
“Sebanyak 11 percubaan FFR dilaksanakan sebelum ini, namun jarak perbatuan yang ditetapkan belum dapat dicapai berikutan isu teknikal tersebut. Dalam tempoh dua setengah bulan, kontraktor mengenal pasti 33 isu melibatkan ralat perisian serta gangguan sistem. Sebahagian penambaikan teknikal dan pelepasan perisian masih dalam proses.
“Masih terdapat penambahbaikan dan pengesahan yang diperlukan bagi perisian sistem isyarat Siemens serta kerja-kerja integrasi. Bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan lancar, tempoh ujian sedang dipanjangkan supaya sebarang isu dapat dikenal pasti dan diselesaikan sebelum perkhidmatan dibuka kepada penumpang. Langkah ini diambil untuk memastikan LRT3 beroperasi dengan selamat dan boleh dipercayai sejak hari pertama,” katanya dalam taklimat khas bersama pemberita, hari ini.
Beliau berkata, Prasarana akan memaklumkan perkembangan proses fasa pengujian dan pentauliahan pertengahan pertengahan Januari depan.
Pembukaan dan operasi LRT3 sebelum ini dilapor mengalami kelewatan apabila perkhidmatan pengangkutan awam itu didakwa mengalami masalah teknikal sehingga menjejaskan operasi keseluruhan.
Laluan baharu perkhidmatan rel itu sebelum ini sepatutnya bermula pada suku kedua tahun ini, namun berdepan siri penangguhan pada suku ketiga dan September lalu susulan keseluruhan pembangunan projek itu mencapai 98.16 peratus.
Semetara itu Pengarah Projek SULRT3, Patrick Hwang bagaimanapun memaklumkan pihaknya sudah pun mengenal pasti penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi dan proses tersebut sedang dilakukan.
“Antara isu tersebut adalah kegagalan tren berhenti di platform dengan tepat yang mengakibatkan pintu tren tidak berfungsi dengan sempurna. Tren tidak dapat meneruskan perjalanan ke stesen berikutnya secara automatik.
“Selain itu, pergerakan tren didapati tidak mengikut kelajuan yang diprogramkan di dalam sistem dan terdapat pergerakan minimum ketika tren dalam keadaan pegun,” jelasnya.
Katanya lagi, kesemua isu-isu tersebut sedang dianalisis oleh kontraktor dan kerja-kerja penambahbaikan perisian dijalankan bagi memastikan kestabilan, ketepatan dan kebolehpercayaan sistem.
“Penambahbaikan serta pengesahan itu mesti diselesaikan sebelum langkah seterusnya dapat dilaksanakan,” ujarnya. – UTUSAN











