Tiada pendaki 'curi-curi' mendaki Gunung Batu Putih - Utusan Malaysia

Tiada pendaki ‘curi-curi’ mendaki Gunung Batu Putih

MAH Hang Soon (tiga dari kanan) bersama penduduk ketika meninjau jambatan gantung di Lubuk Gaharu, Tapah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Tiada laporan aktiviti pendakian tanpa kebenaran di Gunung Batu Putih setakat ini susulan ditutup sementara oleh Jabatan Perhutanan Perak sehingga satu tarikh yang akan dilaporkan kelak.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi Hal Ehwal Masyarakat Orang Asli, Chew Ho Beng berkata, setakat ini, laporan Tok Batin perkampungan berhampiran gunung itu mengesahkan tiada aktiviti dilakukan pendaki dari seluruh negara.

“Kebiasaannya, mereka mendaki Gunung Batu Putih menggunakan akses empat buah perkampungan iaitu Kampung Orang Asli (KOA) Pos Gedung, KOA Ampang Woh, KOA Lubuk Gaharu dan KOA Pos Musoh di Tapah.

“Selain empat kampung itu pun boleh tetapi laluan atau trek lebih mencabar namun saya terima laporan daripada semua Tok Batin tiada aktiviti pendakian dilakukan termasuk permohonan permit kebenaran,” katanya.

Beliau bersama Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak/Kedah, Hairulnizam Ahmad dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon meninjau jambatan gantung yang uzur di Kampung Lubuk Gaharu di sini hari ini.

Difahamkan, Jakoa dalam peringkat akhir bagi pelaksanaan pembaikan jambatan tersebut selain tambahan infrastruktur lain seperti tangga untuk kemudahan lebih 100 penduduk kampung termasuk memungut hasil hutan untuk jualan terutamanya petai dan durian.

Ho Beng turut berharap agar orang Asli tempatan berdekatan gunung tersebut dilatih untuk menjadi malim gunung kerana mereka lebih berpengalaman di kawasan tersebut.

“Ini juga mampu menyumbang pendapatan sampingan kepada mereka. Saya berpendapat, bagi setiap pendakian secara berkumpulan ekspedisi pendaki perlu disertai malim gunung Orang Asli tempatan.

“Ini sebagai salah satu aspek keselamatan yang penting selain mengelak kejadian yang berlaku seperti pendaki wanita Jaslinda Saludin yang hilang selama dua minggu berulang,” katanya.

Jaslinda Saludin, 49, ditemui selamat pada 6 Jun lalu oleh dua penduduk KOA Lubuk Gaharu semasa mereka memancing ikan di sungai selepas hilang selama 14 hari ketika mendaki Gunung Batu Putih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN