PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan atau aduan berhubung dakwaan gula-gula yang dipercayai mengandungi bahan terlarang dan dijual di pasar raya, seperti tular di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini tiada mangsa tampil membuat laporan atau mengesan kandungan terlarang khususnya dadah dalam gula-gula yang terdapat di pasaran.
Menurutnya, JSJN sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kimia Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memantau serta menyiasat sebarang isu berkaitan demi memastikan keselamatan pengguna.
“Sekiranya terdapat sebarang perkara yang perlu diketahui oleh orang ramai, PDRM akan memaklumkan melalui saluran media rasmi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, dakwaan yang tersebar di media sosial mengenai perkara itu tidak boleh dianggap benar selagi belum dibuktikan dan disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, PDRM akan terus memantau serta menjalankan siasatan terhadap sebarang maklumat yang diterima bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab atau sumber yang tidak sahih di media sosial,” katanya.
Sebelum ini, tular gambar gula-gula yang didakwa dijual di sebuah pasar raya mengandungi bahan boleh menyebabkan kanak-kanak dan orang dewasa hilang fokus dan lupa. – UTUSAN










