BUTTERWORTH : Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) telah meluluskan hampir RM134 juta pembiayaan kepada 143 buah syarikat bumiputera di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak melalui pelbagai program pembiayaan yang disediakan antara tempoh 1 Disember 2024 hingga 31 Mei yang lalu.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, jumlah syarikat yang diluluskan itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 260 buah syarikat dari wilayah utara yang memohon untuk menyertai program-program pembiayaan di bawah TERAJU bagi tempoh yang sama.
“Bagi saya, angka ini membawa satu mesej yang sangat positif. Ia menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan usahawan bumiputera untuk berkembang,” katanya ketika berucap pada program TERAJU Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena di sini, hari ini.
Hadir sama pada program yang disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi.
Mengulas lanjut, Mohd. Shahar berkata, sejak 2016, TERAJU melalui kerjasama strategik di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah menyokong 61 projek bumiputera dengan nilai pelaburan melebihi RM1 bilion.
Katanya, usaha ini turut disokong oleh Dana Mudah Cara berjumlah RM132.71 juta dan telah mewujudkan hampir 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di wilayah utara.
“Ini membuktikan bahawa agenda pembangunan bumiputera yang dilaksanakan secara konsisten mampu menghasilkan impak yang nyata. Pencapaian ini juga membuktikan bahawa potensi syarikat bumiputera di wilayah utara amat besar dan perlu terus diperkasa,” ujar beliau.
Turut diadakan pada program itu ialah majlis pemeteraian memorandum (MoU) kerjasama strategik antara TERAJU dengan dua buah syarikat iaitu Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) dan MMC Engineering Sdn. Bhd. (MMC).
Sementara itu, Junady berkata, program TERAJU Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 merupakan platform libat urus langsung bagi memastikan mandat pembangunan syarikat bumiputera dapat disampaikan secara lebih dekat di peringkat negeri.
Menurutnya, program itu yang diadakan secara siri jelajah bertujuan menghubungkan usahawan dengan agensi kerajaan, rakan perbankan, rakan strategik dan pemain industri sekali gus membuka peluang kepada kumpulan berkenaan mengembangkan atau menskalakan perniagaan.
“Dalam hal ini, komitmen TERAJU adalah untuk membawa peluang pemerkasaan dan pembangunan ekonomi bumiputera terus ke wilayah utara dan bukan sekadar ke pusat,” ujar beliau.-UTUSAN










