Teguran istana tidak seharusnya bersifat 'takhta politik' - Utusan Malaysia

Teguran istana tidak seharusnya bersifat ‘takhta politik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Teguran daripada istana tidak seharusnya ditafsirkan sebagai ‘takhta berpolitik’ atau cenderung untuk menyokong pihak-pihak tertentu dalam pertandingan politik.

Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari yang mengulas kenyataan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bahawa ‘Kerajaan Persekutuan yang ‘bocorkan’ Johor; berkata, di bawah konsep itu raja ada peranan, termasuk menegur kerajaan tetapi ia harus dilakukan secara tertutup.

Menurutnya, apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957, kerajaan setuju dan komited kepada sistem Raja Berperlembagaan dan di bawah konsep itu raja ada peranan, termasuk menegur kerajaan tetapi ia harus dilakukan secara tertutup.

“Sejak 1957 ada beberapa insiden di mana konsep raja berperlembagaan ditekankan sebagai ingatan kepada semua pihak, termasuk oleh Almarhum Sultan Azlan Shah dalam titah penerimaan ijazah doktor undang-undang di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1980.

“Baginda mengingatkan bahawa takhta menghadapi risiko dimasukkan ke muzium budaya!

“Pada tahun 1992, raja-raja bersetuju untuk komited kepada ketetapan Perlembagaan melarang penyertaan aktif dalam perniagaan, raja-raja hanya boleh berbuat demikian melalui nominee,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, Sultan Johor di ambang merdeka memang secara terbuka tidak setuju untuk merdeka tetapi Almarhum Sultan Ibrahim bukan seorang raja berperlembagaan.

“Perlembagaan kita sudah berusia hampir 70 tahun dan semua pihak, termasuk rakyat dan kerajaan, akur kepada garis merah yang tidak harus dilanggar itu,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Ismail berkata, Kerajaan Persekutuan wajar mengembalikan sebahagian besar hasil yang dikutip daripada negeri itu bagi memastikan pembangunan Johor dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Tunku Ismail menegaskan Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada kerajaan Persekutuan, namun pulangan yang diterima semula jauh lebih kecil berbanding jumlah tersebut.

Menurutnya, hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dikembalikan kepada negeri itu untuk menampung keperluan hampir lima juta penduduk.

Tunku Ismail berkata demikian ketika sesi bersama rakyat Johor, sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menyifatkan Johor sebagai negeri kaya tetapi berdepan isu ‘kebocoran’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN