PASIR SALAK: Seorang peniaga durian di Kampung Gajah di sini sanggup menjual buah durian kampung pada harga serendah RM3 sekilogram bagi memberi peluang kepada lebih ramai penduduk, khususnya golongan kurang berkemampuan, menikmati raja buah itu.
Peniaga, Adam Muhamad, 30, berkata, dia tidak kisah menjual durian pada harga rendah kerana niat utamanya adalah membantu orang ramai mendapatkan durian pada harga mampu milik ketika musim lambakan buah.
Dia merupakan seorang peraih dan peniaga yang hanya menjual satu jenis durian kampung, yang diperoleh daripada pembekal di Kampung Tersusun Changkat Lada, Kampung Gajah.
“Saya sengaja menjual pada harga serendah RM3 sekilogram dan tidak menjual secara longgok kerana ketika ini durian berlambak di banyak daerah.
“Kalau saya jual pada harga seperti sebelum ini iaitu RM8 hingga RM10 sekilogram, sudah tentu pelanggan akan berkurangan memandangkan bekalan durian kini sangat banyak,” katanya ketika ditemui di sini.
Adam berkata, sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan sehingga ada yang membuat tempahan lebih awal selain sanggup datang ke rumahnya seawal pukul 8 pagi semata-mata untuk mendapatkan durian murah.
Katanya, harga yang rendah membolehkan lebih ramai pelanggan membeli, sekali gus meningkatkan jumlah jualan hariannya.
“Kadang-kadang jualan boleh mencecah sehingga tiga tan sehari kerana ramai mengambil peluang membeli durian pada harga yang jauh lebih murah berbanding tempat lain,” katanya.
Katanya, pelanggan bukan sahaja terdiri daripada penduduk sekitar Kampung Gajah, malah ada yang datang dari Lumut, Bagan Datuk dan kawasan berhampiran untuk mendapatkan durian dijualnya.
Walaupun dijual pada harga rendah, kualiti durian tetap terjamin kerana isinya lemak, manis, bergas dan menepati cita rasa peminat durian kampung. – UTUSAN











