Tabung UPSI Berduka tutup Ogos, RM2 juta diagih kepada mangsa

Tabung UPSI Berduka tutup Ogos, RM2 juta diagih kepada mangsa

MD. Amin Md. Taff (kiri) menyantuni bapa kepada salah seorang pelajar yang maut dalam kemalangan bas di Gerik meragut nyawa 15 pelajar semasa Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Tabung Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Berduka yang diwujudkan susulan tragedi yang meragut nyawa 15 pelajar dalam nahas bas di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, pada 9 Jun tahun lalu, ditutup Ogos ini.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff  berkata, walaupun tabung itu bakal ditamatkan secara rasmi, sumbangan daripada orang ramai masih diterima sehingga tarikh penutupan.

Katanya, sehingga kini tabung tersebut mengumpulkan sumbangan berjumlah RM2 juta yang telah diagihkan kepada 42 mangsa serta keluarga terlibat sejak hari pertama kejadian.

“Kami (UPSI) tidak menyimpan wang yang diterima sebaliknya terus menyalurkan bantuan kepada penerima setiap kali kutipan mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tautan Kasih dan Ukhwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, UPSI turut menyampaikan bantuan RM5,000 kepada setiap keluarga dan pelajar yang terlibat menggunakan dana daripada tabung berkenaan.

Md. Amin berkata, sebanyak 42 penerima menerima bantuan secara sama rata bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau dakwaan pilih kasih.

Katanya, terdapat kira-kira RM210,000 lagi dalam tabung berkenaan yang kemudiannya diagihkan kepada penerima pada majlis tersebut.

“Apabila kutipan mencukupi, kita terus salurkan kepada penerima. Ada fasa yang kita beri RM5,000 dan ada yang RM10,000 bergantung kepada jumlah dana yang diterima ketika itu.

“Kali ini semua 42 penerima menerima RM5,000 seorang tanpa mengira sama ada mangsa meninggal dunia atau cedera,” ujarnya.

Mengulas mengenai buku UPSI Berduka, Md. Amin berkata, naskah itu mengambil masa hampir 10 bulan untuk disiapkan.

Katanya, ia menghimpunkan pengalaman dan catatan waris, pelajar terselamat, sukarelawan, anggota penyelamat serta pihak lain yang terlibat dalam tragedi tersebut.

“Insya-Allah buku ini dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam masa terdekat,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN