Syed Saddiq mohon maaf, ‘letak tepi’ sekejap soal perkahwinan - Utusan Malaysia

Syed Saddiq mohon maaf, ‘letak tepi’ sekejap soal perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, enggan mengulas mengenai perancangan perkahwinannya dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, ketika ditemui di Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.

Menurut Syed Saddiq, 34, perkara berkaitan kehidupan peribadinya tidak wajar dibincangkan dalam suasana institusi kehakiman kerana dia mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada prosiding mahkamah.

“Saya minta maaf. Saya di sini untuk membicarakan soal perbicaraan di institusi kehakiman. Saya hormati keputusan mahkamah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Syed Saddiq pernah memaklumkan kepada media bahawa persoalan mengenai perkahwinannya boleh diajukan semula pada 30 Jun.

Bagaimanapun, Syed Saddiq tidak menjangkakan keputusan mahkamah yang sepatutnya diumumkan hari ini ditangguhkan kepada 13 Julai akibat salah seorang daripada tiga hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bercuti sakit selama dua hari.

Terdahulu, Bella hadir di Kompleks Mahkamah Putrajaya seawal pukul 7.55 pagi bagi memberikan sokongan moral kepada tunangnya sepanjang prosiding berlangsung.

Untuk rekod, Bella Astillah dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Difahamkan, pasangan itu bersama keluarga masing-masing memilih untuk melangsungkan perkahwinan tahun ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN