ALOR SETAR: Sebuah syarikat pengilang produk kosmetik dan pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan gagal membayar cukai jualan berjumlah RM43,226.63 tiga tahun lalu.
Tertuduh, syarikat Swiss Lab Biotech Sdn. Bhd. bersama pengarahnya, Azhar Md. Yusoff, 61, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, syarikat dan individu terbabit didakwa secara berasingan melakukan kesalahan gagal membayar cukai jualan berjumlah RM43,226.63 kepada Ketua Pengarah Kastam bagi tempoh bercukai 1 November 2022 hingga 31 Disember 2022; 1 Januari 2023 hingga 28 Februari 2023 dan 1 Mac 2023 hingga 30 April 2023.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Cukai Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kompleks Kastam di sini, pada 1 Februari 2023; 1 April 2023 dan 1 Jun 2023.
Berikutan itu, syarikat dan individu terbabit didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26(9) Akta Cukai Jualan 2018.
Pertuduhan terhadap Azhar juga dibaca bersama Seksyen 93 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 26(9) akta berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Muhamad Syafiq Haslan dan Normaliza Mat Isa sementara syarikat dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Muhamad Syafiq mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 memandangkan nilai keseluruhan cukai dan penalti yang sepatutnya dibayar berjumlah RM60,517.28 selain peluang selama tiga tahun telah diberi kepada tertuduh untuk melangsaikan semua pembayaran itu.
Bagaimanapun, Azhar meminta mahkamah menetapkan wang jaminan paling minimum berikutan syarikat tersebut sudah gulung tikar dan sedang berusaha menyusun semula pembayaran berkenaan.
Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM7,000 beserta seorang penjamin dan menetapkan 22 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula dan proses serahan dokumen. Tertuduh kemudian membayar wang jaminan. – UTUSAN









