HASRAT untuk memberikan keselesaan dan kemudahan pembelajaran kepada dua orang anaknya dan murid lain, seorang ibu sanggup berbelanja menyumbangkan cat, Smart TV dan kipas angin di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut Jaya, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, Wan Nurhazirah Datuk Wan Shamsuri yang dikenali sebagai ‘Jia’ berkata, dia menghulurkan sumbangan berupa peralatan berkenaan untuk keselesaan dua orang anaknya yang sedang belajar di Tahun Enam dan Tahun Tiga sekolah itu termasuk kemudahan pembelajaran di Bilik Seni Visual.
“Bukan semata-mata untuk dua orang anak yang belajar di sini, tetapi berasaskan nilai keprihatinan dan tanggungjawab untuk membantu murid termasuk guru ketika berada di Kelas Tahun Enam dan Bilik Seni Visual.
“Sumbangan cat kepada guru untuk menceriakan Bilik Seni Visual, manakala Smart TV bagi kemudahan pembelajaran digital dan kipas angin untuk keselesaan murid belajar di Kelas Tahun Enam,” katanya di SK Jerantut Jaya, bandar Jerantut baru-baru ini.
Wan Nurhazirah yang juga Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru sekolah tersebut berkata, beliau juga menghulurkan sumbangan untuk setiap kali aktiviti kurikulum, kokurikulum dan pembinaan insan anjuran sekolah itu semata-mata untuk melihat kejayaan pihak pentadbir dan guru melaksanakan program tersebut.
“Sebagai ibu bapa, saya berpuas hati apabila melihat dua orang anak serta rakannya (murid) sekolah ini ceria dan selesa ketika belajar khususnya mengikuti program yang dilaksanakan oleh guru,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Jerantut Jaya, Jamalludin Baharun berkata, Wan Nurhazirah yang mesra dalam kalangan murid dengan panggilan ‘mummy’ juga kerap menyumbang dalam bentuk kewangan bagi menjayakan pelbagai program anjuran sekolah ini.
“Ibarat kata peribahasa,’Kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan’, pihak sekolah sangat berbesar hati serta berterima kasih dengan Wan Nurhazirah yang kerap memberikan sumbangan untuk menjayakan program yang disertai oleh guru dan murid di sini,” katanya.
Ujarnya, penghargaan dan bantuan daripada ibu bapa merupakan simbol kekuatan sesebuah sekolah apabila menyumbangkan pelbagai jenis peralatan termasuk tenaga dan sokongan moral bertujuan meningkatkan fasiliti bagi keselesaan demi kebaikan serta kemenjadian murid. –UTUSAN









