AADK: Elak dadah robek masa depan pelajar sekolah

Elak dadah robek masa depan pelajar sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Laporan bahawa hampir 70 peratus belia berusia 19 hingga 40 tahun dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah sintetik di seluruh negara menunjukkan ia satu masalah yang cukup serius dan jika tidak bertindak segera boleh menghancurkan masa depan belia di negara ini.

Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) trend serius dalam kalangan remaja antara lain berpunya daripada dadah sintetik yang semakin mudah untuk diperoleh.
Laporan turut mendedahkan penagihan dadah kini bermula seawal usia 12 tahun dan sudah semestinya bencana sosial ini boleh merobek hala tuju dan masa depan negara secara keseluruhannya kelak.

Anggota masyarakat juga masih terkejut dengan laporan bahawa polis baru-baru ini menahan pelajar lelaki Tingkatan Empat di Melaka yang disyaki membekalkan rokok elektronik atau vape mengandungi dadah mushroom kepada teman wanitanya yang berusia 14 tahun.

Lebih membimbangkan apabila remaja perempuan tersebut ketika berada di bawah pengaruh vape jenis mushroom itu bertindak mengelar leher dan pergelangan tangannya selepas berang dihalang ibu angkatnya daripada bertemu teman lelaki.

Secara umumnya senario seperti ini menggambarkan pelajar sekolah turut terdedah kepada pelbagai bahaya dan risiko angkara najis dadah. Ini sekali gus menuntut tindakan proaktIf semua pihak yang terlibat supaya dapat melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa pelbagai jenis dadah baharu yang berada di pasaran pada ketika ini.

Ironinya, usaha membanteras dadah dan menangani masalah ini khususnya dalam kalangan belia tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak berkuasa seperti AADK dan polis, sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen semua lapisan anggota masyarakat mercakupi komuniti dan pemimpin setempat, guru dan sekolah, belia dan sudah semestinya ibu bapa.

Sedar atau tidak, ramai belia yang terjebak akhirnya hilang fokus terhadap pelajaran, pekerjaan dan kehidupan. Penglibatan dalam najis dadah juga mendorong mereka mudah terlibat dengan pelbagai jenayah seperti mencuri, gangsterisme serta penipuan demi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Sebagai individu yang paling rapat dengan belia, ibu bapa merupakan benteng pertama dalam melindungi anak-anak daripada terjebak dengan dadah. Hubungan kekeluargaan yang rapat dan komunikasi yang baik sangat penting dalam memastikan anak-anak tidak mencari pengaruh luar yang negatif.

Malangnya, kesibukan kerja dan kurang perhatian terhadap emosi anak menyebabkan ramai remaja mencari ketenangan melalui rakan sebaya yang salah, justeru kita berharap agar ibu bapa lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak seperti sering pulang lewat malam, penzahiran emosi tidak stabil, prestasi pelajaran merosot dan perubahan pergaulan secara mendadak.

Jangan sesekali menganggap perubahan itu sekadar perubahan “fasa remaja” yang biasa tanpa siasatan lanjut. Pemantauan penggunaan telefon pintar dan media sosial juga penting kerana banyak sindiket menggunakan platform digital untuk mempengaruhi remaja.

Selain itu, ibu bapa perlu membina suasana rumah yang harmoni dan menjadi tempat selamat untuk anak berkongsi masalah. Anak yang dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang dan perhatian lebih cenderung mempunyai daya tahan diri yang kuat untuk menolak pengaruh negatif.

Guru dan sekolah pula merupakan institusi penting dalam membentuk jati diri dan sahsiah pelajar. Sekolah bukan hanya tempat menyampaikan ilmu akademik, tetapi juga medan membina sahsiah dan ketahanan diri generasi muda. Pendidikan berkaitan bahaya dadah perlu disampaikan secara lebih kreatif, realistik dan dekat dengan kehidupan remaja masa kini.

Program kesedaran tidak seharusnya hanya bersifat ceramah semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pendekatan interaktif seperti perkongsian bekas penagih, simulasi situasi tekanan rakan sebaya dan aktiviti pembangunan diri. Pendekatan sebegini lebih mudah memberi kesan kepada pelajar.

Guru juga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar di sekolah. Pelajar yang sering ponteng, murung, agresif atau mengalami kemerosotan akademik secara mendadak perlu diberi perhatian awal melalui kaunseling dan intervensi segera. Hubungan erat antara sekolah dan ibu bapa juga perlu diperkukuh supaya sebarang masalah dapat ditangani secara bersama.

Di samping itu, adalah disyorkan juga agar para remaja mengisi kehidupan dengan aktiviti positif seperti bersukan, menyertai program kesukarelawanan, keusahawanan dan pembangunan kemahiran. Aktiviti yang sihat mampu membina keyakinan diri serta mengelakkan mereka daripada terjebak dengan pengaruh negatif.

Semoga kerjasama semua pihak dapat melindungi anak-anak dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan dadah tidak merobek harapan dan masa depan belia Malaysia.

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Yang Dipertua Pibg Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN