PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan tidak akan melindungi pelaku jenayah termasuk individu-individu yang memegang status sebagai pelarian di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, status pelarian bukan lesen untuk mana-mana individu atau kumpulan untuk melanggar undang-undang negara.
“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah atau melanggar undang-undang negara tetap akan berdepan tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan sewajarnya.
“Kerajaan tidak akan melindungi pelaku jenayah. Kerajaan juta tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Menjelaskan mengenai isu pelarian yang kini menjadi perhatian umum, Saifuddin berkata, apa yang dilakukan KDN pada masa kini adalah untuk memastikan Kerajaan Malaysia mempunyai keupayaan lebih baik bagi menguruskan satu realiti yang telah lama wujud di negara.
Katanya, matlamatnya bukanlah untuk melindungi pelarian tetapi untuk melindungi kepentingan negara, keselamatan rakyat dan ketenteraman awam.
“Saya percaya rakyat Malaysia mampu membincangkan isu ini secara matang, rasional dan bertanggungjawab demi kepentingan negara yang kita cintai bersama,” katanya.
Pada masa sama, Saifuddin berkata, beliau mengalu-alukan penglibatan ahli akademik, aktivis masyarakat sivil, badan pemikir, pengamal undang-undang, pakar keselamatan serta mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran dan pandangan yang membina untuk tampil mengemukakan cadangan berhubung isu pengurusan pelarian di negara.
Katanya, ia bukan isu baharu sebaliknya merupakan isu legasi yang telah berlarutan sejak sekian lama dan diwarisi merentasi pelbagai pentadbiran namun ia bukan alasan untuk kerajaan masa ini berpeluk tubuh atau mengelak daripada bertindak.
“Kerajaan Madani memilih untuk mengurus isu ini secara bertanggungjawab, berhemah dan berasaskan fakta. Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, keutamaan kami tetap jelas memastikan keselamatan rakyat dan negara terus terpelihara, di samping mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud,” katanya.
Beliau berkata, antara cabaran terbesar dihadapi kerajaan dalam menguruskan isu pelarian di negara adalah ketiadaan data yang lengkap dan tepat mengenai individu yang berada dalam kategori pelarian.
Katanya, atas sebab itu, kerajaan sedang melaksanakan proses pengumpulan data dan maklumat biometrik yang lebih menyeluruh.
“Kita tidak boleh mengurus apa yang kita tidak kenal. Kita tidak boleh melindungi keselamatan negara tanpa mengetahui dengan tepat siapa yang berada dalam sempadan negara kita.
“Data yang tepat akan membolehkan kerajaan mengurus pelbagai isu yang berbangkit dengan lebih berkesan, sama ada dari sudut keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, kesihatan awam, pekerjaan mahupun kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya. – UTUSAN










