PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan supaya Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dipinda bagi memperluas kuasa siasatan Pesuruhjaya Bangunan (COB).
SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, cadangan itu bertujuan membolehkan pemantauan lebih ketat terhadap konflik kepentingan dan penyalahgunaan dana pengurusan di kawasan berstrata.
Katanya, syor berkenaan adalah antara enam cadangan penambahbaikan yang dikemukakan Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Langkah itu bertujuan memperkemas tadbir urus kewangan dan perolehan dalam pengurusan kawasan berstrata secara lebih berintegriti.
“Penambahbaikan utama yang disyorkan adalah pindaan Akta 757 bagi memperluas kuasa siasatan COB terhadap konflik kepentingan dan penyalahgunaan dana, penguatkuasaan melalui pengkompaunan kesalahan untuk mempercepat tindakan dan meningkatkan pematuhan, mewartakan garis panduan kewangan serta perolehan sebagai kewajipan undang-undang dan prosedur yang jelas,” katanya.
Tambah SPRM, cadangan berkenaan dikemukakan oleh Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohd Taib kepada JPN pada 16 Jun lalu selepas kajian dijalankan berhubung cabaran pengurusan kewangan dan perolehan oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB) di kawasan berstrata.
Selain itu, SPRM turut mencadangkan pembangunan sistem e-Pelaporan berasaskan model Building Maintenance and Strata Management Act (BMSMA) 2004 di Singapura bagi meningkatkan ketelusan pelaporan berkala serta mengurangkan risiko manipulasi dokumen.
“Turut dicadangkan ialah penstrukturan semula perjawatan melalui penambahan pegawai dan penetapan nisbah optimum bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan, selain memperkasa kompetensi pegawai menerusi latihan berterusan dalam bidang kewangan, audit, perolehan dan penguatkuasaan,” katanya.
Sementara itu, JPN dalam masa sama menyatakan sokongan terhadap semua cadangan yang dikemukakan dan yakin ia mampu mempertingkatkan tadbir urus, ketelusan serta akauntabiliti, di samping memperkukuh pengurusan organisasi yang lebih berkesan dan berintegriti.-UTUSAN










