SMK Tanah Merah 1 muncul juara bola sepak bawah 17 selepas 14 tahun

SMK Tanah Merah 1 muncul juara bola sepak bawah 17 selepas 14 tahun

AZLI Shafie (tiga kanan, belakang) bersama guru dan barisan pemain selepas merangkul kejuaraan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Tanah Merah kategori bawah 17 tahun di SMK Belimbing, Tanah Merah, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Sentuhan pengetua baharu yang berlatar belakang sukan menjadi pemangkin kebangkitan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah Satu 1 apabila merangkul kejuaraan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Tanah Merah kategori bawah 17 tahun semalam.

Kejayaan itu sekali gus menamatkan kemarau selama 14 tahun SMK Tanah Merah 1 untuk bergelar juara sekali gus membawa pulang ibu segala pingat pada kejohanan itu.

Pada aksi final SMK Tanah Merah 1 meriah kemenangan 5-4 ke atas SMK Belimbing menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Penolong Kanan Kokurikulum Muhammad Srigani Abdullah berkata, kejayaan tersebut disifatkan sebagai titik kebangkitan semula pasukan bola sepak SMK Tanah Merah 1.

Menurutnya, kehadiran pengetua baharu, Nik Muhammad Rizal Nik Abu Bakar berjaya meniup semangat baharu kepada seluruh warga sekolah sehingga mencetuskan perubahan besar dalam masa singkat.

“Kali terakhir meraih pingat emas pada tahun 2012. Sejujurnya kami tidak menjangka boleh pergi sejauh ini kerana kami turun sebagai pasukan bukan pilihan. Sasaran awal hanya mahu mara ke final selepas tahun lalu sekadar berada di tempat ketiga.

“Tetapi apabila berjaya ke separuh akhir, kami mula yakin dan akhirnya berjaya menang di final. Alhamdulillah, kemenangan ini hadir lebih awal daripada apa yang kami rancangkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Muhammad Srigani memberitahu, kejayaan itu lahir hasil perancangan pembangunan sukan sekolah yang diwujudkan bagi membina semula budaya kemenangan dalam kalangan pelajar.

Sementara itu pengendali pasukan Azli Shafie menyifatkan kejayaan itu hadir dari semangat berpasukan dan disiplin tinggi yang dipergakan oleh barisan pemain sepanjang kejohanan tersebut.

Katanya, kejayaan itu menjadi ‘tonik’ berharga buat SMK Tanah Merah 1 untuk meneruskan cabaran di peringkat negeri nanti.

“Pesan saya kepada pemain, kekalkan momentum dan jangan mudah berpuas hati dengan kejayaan ini. Teruskan berusaha kerana perjalanan masih jauh,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN