Bekas Menteri Pendidikan Indonesia dipenjara 10 tahun

Bekas Menteri Pendidikan Indonesia dipenjara 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas Menteri Pendidikan, Nadiem Makarim, yang juga pengasas bersama aplikasi super Gojek.

Nadiem, 41, didakwa memanipulasi perolehan komputer riba untuk sekolah bagi mengaut keuntungan peribadi, yang menurut pihak pendakwa menyebabkan kerugian kira-kira AS$125 juta (RM530 juta) kepada kerajaan. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Nadiem meninggalkan Gojek pada 2019 untuk menyertai pentadbiran Presiden ketika itu, Joko Widodo, sebelum berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan sehingga 2024.

Pengkritik pihak berkuasa Indonesia mendakwa kes terhadap beliau dibina atas bukti yang lemah dan menyifatkannya sebagai mangsa kempen kerajaan yang menyasarkan lawan politik.

Penyokong Nadiem yang berkumpul di luar kompleks mahkamah turut mengejek dan membantah sebaik keputusan hukuman dibacakan pada Selasa.

Nadiem berkata, kepada mahkamah awal bulan ini bahawa beliau telah banyak berkorban untuk berkhidmat dalam kerajaan, dan ganjaran yang saya terima ialah besi jeriji.

Kes itu berkaitan perolehan komputer riba Chromebook oleh Kementerian Pendidikan untuk sekolah-sekolah di Indonesia antara 2021 hingga 2022.

Pihak pendakwaan mendakwa Nadiem memihak kepada Google, yang merupakan pelabur dalam Gojek, dalam proses perolehan tersebut, dengan mengatakan beliau mewujudkan spesifikasi tender yang hanya sesuai dengan sistem Chrome bagi ‘menjadikan Google satu-satunya pengawal ekosistem pendidikan di Indonesia’.

Mereka mendakwa beliau secara peribadi memperoleh keuntungan sekitar AS$46.3 juta (RM188.6 juta) melalui tindakan itu.

Nadiem menafikan semua pertuduhan, dengan berhujah pemilihan Chromebook oleh kementerian sebenarnya mengurangkan kos kerajaan.

Beliau turut menafikan pelaburan Google dalam Gojek mempunyai kaitan dengan proses perolehan tersebut.

Puluhan penyokong termasuk pemandu Gojek hadir di mahkamah di Jakarta. Mereka membawa sepanduk putih bertulis ‘Kami bersama Nadiem’ dan ‘Bebaskan Nadiem’.

Nadiem dilihat berjabat tangan dan bertegur sapa dengan penyokongnya, dan kelihatan sebak apabila seorang pemandu Gojek memeluknya.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN