FOXBOROUGH: Bos Jerman, Julian Nagelsmann menegaskan beliau tidak akan meninggalkan skuadnya walaupun dibadai kritikan susulan penyingkiran mengejut pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selepas tewas kepada Paraguay menerusi penentuan sepakan penalti, hari ini.
Jurulatih berusia 38 tahun itu berkata, beliau masih bersedia meneruskan tugas sehingga Euro 2028 seperti termaktub dalam kontraknya sekiranya terus mendapat kepercayaan daripada Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB).
“Saya bukan seorang yang akan lari daripada tanggungjawab dan saya mahu terus kekal membimbing pasukan ini.
“Bagaimanapun dalam bola sepak bukan semuanya berada dalam tangan saya, jadi jika DFB masih mahukan saya, saya akan membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan Eropah dan Liga Negara-Negara,” katanya.
Kekalahan itu turut mencatat sejarah hitam buat Jerman apabila buat kali pertama tewas dalam penentuan sepakan penalti di pentas Piala Dunia selepas Jonathan Tah gagal menyempurnakan sepakan terakhir.
Dalam masa sama, bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp yang hadir sebagai pengulas televisyen enggan mengulas spekulasi mengaitkan dirinya sebagai calon pengganti Nagelsmann sambil menyifatkan sekarang bukan masa sesuai membincangkan perkara itu.
Pemain tengah, Nadiem Amiri pula percaya Jerman masih memiliki masa depan yang cerah menerusi barisan pemain muda berkualiti meskipun mengakui sukar menerima hakikat penyingkiran tersebut.
“Kami mempunyai ramai pemain muda dan kualiti dalam skuad ini, tetapi buat masa sekarang bukan masa untuk bercakap mengenai masa depan kerana kami semua masih terlalu kecewa.
“Saya benar-benar sedih kerana ia adalah pengakhiran yang sangat memeritkan dan amat sukar untuk mencari kata-kata yang tepat bagi menggambarkan perasaan ini,” katanya. – AGENSI










