PETALING JAYA: Pelakon, Datuk Remy Ishak berpandangan bahawa hebat mana sekalipun seseorang pelakon itu menjayakan wataknya, belum tentu dapat menyelamatkan karya yang lemah jika skrip dan suntingannya berada pada tahap mengecewakan.
Remy atau Mohammad Zalimei Ishak, 44, berkata, pelakon hanyalah satu komponen dalam pembikinan filem dan jika elemen penting lain gagal berfungsi dengan baik, seorang pelakon hebat sekalipun tidak mampu berbuat apa-apa.
“Pelakon hanyalah satu komponen, walaupun komponen yang sangat penting. Kalau skrip lemah, suntingan bercelaru atau pemasaran gagal, seorang pelakon hebat pun mungkin tidak mampu menyelamatkannya.
“Filem yang gagal ditukar kepada pelakon popular, adakah ia mengubah apa-apa? Pendapat saya, ya, tapi mungkin tidak sebanyak yang orang sangka,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Jelas Remy, penukaran watak kepada pelakon popular dalam karya yang bermasalah sebenarnya lebih membantu dari segi nilai komersial awal, bukannya membaiki kualiti seni karya tersebut.
“Kemungkinan yang berubah ialah kutipan minggu pertama meningkat dan liputan media bertambah. Selain itu, sponsor akan lebih yakin, jumlah pawagam bertambah dan filem tidak menjadi gagal besar,” katanya.
Perkongsian daripada Remy ini adalah bagi menjawab persoalan seorang individu yang menyoalkan sama ada pelakon popular mampu menyelamatkan sesebuah filem yang gagal ataupun tidak.
Untuk rekod, Remy merupakan antara pelakon gred A tempatan yang membintangi banyak naskhah filem termasuklah filem seram Khadam yang mendapat kutipan sebanyak RM2.6 juta sepanjang tempoh 7 hari tayangan.









