SKDS, SKPS diperluas pada jip, pikap sektor pengangkutan darat barangan

SKDS, SKPS diperluas pada jip, pikap sektor pengangkutan darat barangan

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAY: Kerajaan memperluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan bermula 1 Jun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, berikutan itu, sebanyak 8,862 kenderaan berjaya didaftarkan setakat 3 Jun melibatkan 8,524 pikap diesel selain 329 buah jip diesel dan sembilan buah jip petrol.

“Selain berdaftar atas nama syarikat atau entiti perniagaan, syarat kelayakan juga meliputi kategori kegunaan direkodkan dalam Lesen Kenderaan Motor (LKM) Jabatan Pengangkutan Jalan serta memastikan status pendaftaran sebagai kenderaan perdagangan.

“Peluasan SKDS dan SKPS adalah bagi kenderaan jenis pikap dan jip di bawah kelas kegunaan Barang Rigid dan Barang Rigid Decon 950kilogram hingga 7,500 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Armizan berkata kenderaan yang didaftarkan di bawah kategori kerajaan, pihak berkuasa tempatan, kategori khas lain dan barangan tiada permit serta ‘off-road’ adalah tidak tersenarai.

Pada masa sama, antara penambahbaikan berkuat kuasa bermula 1 Jun turut melibatkan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan barangan dalam usaha memperkukuh mekanisme kawal selia untuk mengekang ketirisan subsidi dan penyalahgunaan fleet card.

“Setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5000 liter sebulan, tertakluk kepada had kuota yang ditetapkan bagi setiap 23 jenis kenderaan yang disenaraikan layak dalam SKDS.

“Penetapan kuota telah dibuat berdasarkan analisis data penggunaan sebenar yang direkodkan sepanjang hampir dua tahun pelaksanaan SKDS sejak tahun 2024,” katanya.

Katanya, seperti diumumkan pada 23 Mei lalu, bagi syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai keperluan operasi melebihi kuota ditetapkan, KPDN menyediakan mekanisme
rayuan tambahan kuota melalui Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP).

“Permohonan hendaklah disokong dengan justifikasi keperluan beserta rekod penggunaan sebenar sekurang- kurangnya tiga bulan.

“Setakat 1 hingga 3 Jun, sebanyak lapan syarikat telah mengemukakan permohonan rayuan tambahan kuota yang melibatkan 82 kenderaan telah diterima dan sedang diproses
untuk pertimbangan JKSP.

“KPDN akan terus menambah baik pelaksanaan SKDS dan SKPS bagi memastikan subsidi bahan api disalurkan secara bersasar dan mengekang ketirisan sama ada dalam bentuk penyelewengan dan penyeludupan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN