Sempat atau tidak Syed Saddiq bergelar suami, bapa?

Sempat atau tidak Syed Saddiq bergelar suami, bapa ditentukan 30 Jun ini – Rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan rayuan akhir yang akan diputuskan pada 30 Jun ini bakal menjadi penentu sama ada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berpeluang meneruskan perancangan hidupnya termasuk bergelar bapa dan suami kepada penyanyi, Bella Astillah.

Menurut rakan kepada Saddiq yang juga Timbalan Presiden MUDA, Zaidel Baharuddin, sekiranya keputusan rayuan itu tidak memihak kepada Saddiq, dia tidak lagi mempunyai ruang untuk membuat rayuan dan perlu berdepan hukuman penjara yang mungkin mengambil tempoh bertahun-tahun.

“Tarikh 30 Jun ini akan menentukan sama ada dia boleh berkahwin dan menjadi seorang bapa atau tidak. Ini adalah rayuan terakhir. Jika didapati bersalah, dia akan terus berdepan hukuman sebatan dan penjara.

“Berdasarkan keputusan tiga hakim sebelum ini, mereka berpendapat dia tidak bersalah, namun saya tidak mahu mendahului keputusan mahkamah.

“Ketika kecoh bercakap tentang pertunangannya, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah sama ada dia sempat berkahwin atau tidak kerana kita semua tahu keputusan rayuan akan diumumkan pada 30 Jun,” katanya.

Zaidel berkata demikian dalam temu bual menerusi program audio siar Apa Cerita Podcast yang tular di media sosial hari ini.

Menurut Zaidel, hubungan persahabatannya dengan Syed Saddiq telah terjalin sejak sebelum mereka terlibat dalam politik.

“Sebelum terlibat dalam politik, kami sudah lama berkawan. Kebanyakan anggota MUDA juga merupakan rakan Saddiq.

“Apabila melihat anak-anak (Ayden dan Ara), saya terfikir sama ada Syed Saddiq sempat atau tidak menjadi bapa kepada dua orang kanak-kanak itu.

“Hukuman asal yang dikenakan bukanlah setahun atau dua tahun, tetapi tempoh yang agak lama. Tidak mustahil anak-anak Bella ketika itu sudah meningkat dewasa.

“Jadi saya mohon semua mendoakan yang terbaik. Jika ada jodoh, adalah,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidel memaklumkan satu majlis doa selamat dan solat hajat akan diadakan di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Petaling Jaya pada 25 Jun ini sebagai tanda solidariti terhadap Syed Saddiq.

“Semua dijemput hadir. Program ini bukan mengenai politik. Perinciannya boleh didapati menerusi laman sesawang suarakita.com.

“Syed Saddiq bukan sahaja Ahli Parlimen Muar atau pemimpin MUDA, tetapi juga Ahli Parlimen yang kita semua.

“Dia sering menyuarakan pelbagai isu termasuk pendidikan dan gejala buli. Isu yang memang ramai DM kita untuk cakap.

“Ini merupakan tanda solidariti kepada keluarga Syed Saddiq dan Bella agar mereka tahu mereka tidak bersendirian. Mungkin kita tidak mampu melakukan banyak perkara, namun sekurang-kurangnya kita boleh membantu meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 30 Jun ini untuk menyampaikan keputusan rayuan akhir Syed Saddiq berhubung sabitan dan hukuman terhadap empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu merupakan Penolong Bendahari Armada, melakukan pecah amanah jenayah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta yang disimpan di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.

Saddiq turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.

Selain itu, Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali ganda nilai transaksi yang terlibat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×