PETALING JAYA: Semangat hijrah perlu diterjemahkan melalui kesepakatan, kerjasama dan perpaduan rakyat dalam menjayakan agenda pembaharuan negara berteraskan keadilan, kebenaran, kemakmuran serta keselamatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menzahirkan semangat hijrah dalam konteks semasa bukanlah sesuatu yang mudah.
Katanya, ia memerlukan kesepakatan dan kerjasama rangkaian komuniti yang pelbagai.
“Kejayaan tidak akan hadir hanya dengan retorik, slogan atau semangat bersendirian, sebaliknya perlu digerakkan secara bersama dengan penuh kesabaran dan iltizam menuju kemenangan.
“Oleh itu, kemahuan dan harapan melakukan pembaharuan atas hijrah untuk menegakkan keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjaminnya keselamatan harus menjadi ikhtiar bersama dan bukan milik sesiapa,” katanya dalam perutusan sempena Maal Hijrah 1448H hari ini.
Menurutnya, aspirasi untuk menegakkan keadilan, memastikan kebenaran berdaulat, memakmurkan kehidupan rakyat serta menjamin keselamatan negara perlu digerakkan secara kolektif.
“Kita selami semangat hijrah dan segala pengajaran mulia yang terpahat.
“Kerjasama dan perpaduan amat bernilai dalam menggapai kejayaan serta merealisasikan cita-cita perubahan dan pembaharuan,” katanya.
Menurutnya, kejayaan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah membuktikan bahawa perubahan besar tidak dapat dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan pengorbanan serta usaha berpasukan yang dipandu oleh keimanan kepada Allah SWT.
Jelasnya, peristiwa bersejarah itu turut memperlihatkan peranan penting pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, wanita dan para sahabat dalam memastikan kejayaan hijrah.
“Teladan dari peristiwa hijrah yang dilalui Rasulullah SAW menyaksikan peranan instrumental anak muda seperti Saidina Ali Abi Talib, sumbangan wanita seperti Asma Abu Bakar dan ramai sahabat yang mengatur serta menjadi sebahagian daripada sejarah hijrah nabi ke Madinah.
“Kejayaan hijrah Rasulullah SAW adalah ikhtiar berpasukan atas kesatuan iman yang berada dalam lindungan Allah SWT,” katanya.- UTUSAN










