KUALA LUMPUR: Permohonan semakan kehakiman oleh keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu agar pihak polis menyiasat afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas anggota polis yang membunuh wanita itu ditetapkan untuk pendengaran pada 6 Oktober ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Sangeet Kaur yang mewakili bapa model itu, Dr. Shaariibuu Setev ketika dihubungi media hari ini.
Tambahnya, kes akan didengar pada pukul 10 pagi oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Norliza Othman.
Pada 16 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi di sini memberikan kebenaran kepada Shaariibuu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung afidavit tambahan dan akuan bersumpah Cif Inspektor Azilah Hadri yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.
Shaariibuu memfailkan permohonan itu pada 25 Ogos 2025 dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pada prosiding hari ini, kesemua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Muhairi Mohamed Noh.
Menurut afidavit yang difailkan, Shaariibuu memohon deklarasi bahawa keputusan kesemua responden yang tidak memaklumkan kepada beliau status siasatan terkini yang dijalankan pada 2019 oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman terhadap kandungan afidavit tambahan dan akuan bersumpah diikrarkan Azilah adalah bertentangan dengan undang-undang.
Afidavit tambahan bertarikh 24 September 2024 dan akuan bersumpah bertarikh 17 Oktober 2019 itu digunakan oleh bekas pegawai polis tersebut bagi menyokong permohonan semakan hukuman mati terhadapnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2024.
Kedua-dua dokumen antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa dia mendapat arahan daripada ‘pihak atasan’ untuk menjalankan ‘operasi sulit’ bagi ‘membunuh dan menghapuskan si mati’.
Shaariibuu selaku pemohon berkata, sekiranya siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah itu masih berjalan, beliau memohon perintah mandamus agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah. – UTUSAN







