KUALA LUMPUR: Walaupun mentadbir negara sejak November 2022 dengan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan dirinya sebagai satu-satunya pemimpin yang mampu mengawal tindak-tanduk setiap parti komponen kerajaan Perpaduan.
Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis, Dr. Norhudi’in Danu berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk menjaga keharmonian dan memuaskan hati setiap parti komponen terutama BN yang merupakan seteru politik paling utama PH sebelum PRU pada 2022.
Katanya, demi menjaga kestabilan politik ke arah kemakmuran ekonomi, Anwar melakukan segala dalam kemampuan beliau untuk menjaga hati setiap parti komponen Kerajaan Madani sehingga kekal sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini.
“Sejarah membuktikan bahawa negara pernah mempunyai tiga perdana menteri dalam masa satu penggal sahaja akibat tertubuhnya kerajaan campuran.
“Jika dilihat daripada perspektif ini, Anwar adalah satu-satunya pemimpin yang mampu kekal berkuasa tanpa ancaman dan ugutan sejak menang Pilihan Raya Umum (PRU) 2022,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban, Dr. Mazlan Che Soh berkata, ketahanan politik Anwar Ibrahim boleh dilihat sebagai manifestasi kematangan institusi politik Malaysia apabila keupayaan kepimpinan beliau berjaya mengurus perbezaan, membina konsensus dan mengekalkan keyakinan institusi utama negara.

Mengulas lanjut, Dr. Norhudi’in berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan yang inklusif melalui pengenalan kerangka Malaysia Madani telah banyak mengubah perspektif negara luar terhadap Malaysia.
Menurut beliau, hasilnya lonjakan ekonomi yang lebih memberansangkan sehingga 5.4 peratus pada suku pertama 2026 dibuktikan melalui pengukuhan ringgit dan peningkatan pelaburan asing.
“Ketidakstabilan geopolitik dunia telah memberi kesan buruk kepada kebanyakan negara sekitar, namun di Malaysia, pergerakkan ekonomi semasa masih dalam keadaan stabil dan terkawal.
“Perkara ini sekali gus membantu seluruh rakyat supaya lebih bertenang namun perlu sentiasa dalam mod berhati-hati dalam urusan pengurusan kewangan keluarga,” katanya.
Justeru, katanya, adalah sangat penting bagi seluruh rakyat untuk terus dan turut sama dalam usaha menjaga kestabilan ekonomi, keharmonian sejagat dan kemakmuran dalam beragama.
Katanya, jauhi lah sifat ektrem walau berada dalam wadah politik yang berbeza kerana kesejahteraan jiwa itu adalah kunci kemakmuran yang kita bina sekian lama ini kekal bertapak dalam jiwa setiap warga yang merdeka. – UTUSAN










