KULAI: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada keperluan untuk pihak lawan berkempen secara agresif kerana beliau tetap Perdana Menteri Malaysia sama ada pihaknya menang atau kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Sehubungan itu katanya, mana-mana pihak tidak perlu menggunakan kata-kata kurang enak kerana kehadiran beliau ke negeri ini bukan bertujuan untuk mencari gaduh.
“Menang PRN Johor saya Perdana Menteri, kalah PRN Johor pun saya tetap Perdana Menteri. Saya kata begini bukan sombong cuma nak ingatkan cakap cermat sikitlah, jangan lupa.
“Saya bukan datang untuk gaduh tetapi untuk beritahu, projek-projek seperti lebuh raya, Sistem Transit Rapid (RTS) Link, Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) jangan bimbang, itu bidang kuasa ‘Federal’ kita akan buat.
“Tetapi di Johor, rumah murah untuk rakyat, gerai-gerai untuk rakyat berniaga, itu kerajaan negeri punya bidang kuasa, bukan ‘Federal’, jadi buatlah,” katanya ketika berucap pada Program Kita Genk Madani X Anak Muda Bukit Batu di Taman Tropika, di sini semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkata, pihaknya berharap agar masyarakat Johor khususnya golongan muda tidak termakan hasutan segelintir pihak yang cuba untuk melaga-lagakan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Anak muda jangan terima pihak yang mahu laga-lagakan antara kaum, ini Malaysia, masa depan negara ini kita perlu bersatu padu dan bekerja bersama-sama. Semua kaum perlu berkongsi, Johor merupakan sebuah negeri yang maju.
“Tiba masanya pilihan raya ini cakaplah apa pun, tetapi masalah rakyat kena jaga. Masa saya jadi Perdana Menteri, tandas sekolah pun tidak dijaga, perubahan ini kita perlu bawa bukan gaduh sesama Melayu, Cina dan India.
“Rakyat di bawah bergaduh, pemimpin di atas sapu semua,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyindir tindakan kerajaan negeri yang mengagihkan bantuan kepada rakyat menggunakan kaedah lama sehingga memaksa orang ramai beratur berjam-jam. – MINGGUAN










