Sedia tambah kekerapan LRT3 jika jumlah penumpang meningkat

Sedia tambah kekerapan LRT3 jika jumlah penumpang meningkat

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia mempertingkatkan tahap kekerapan perkhidmatan Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3) sekiranya trend pergerakan penumpang menunjukkan peningkatan drastik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, maklum balas itu diberikan susulan rungutan dan keluhan beberapa pihak yang menyifatkan masa menunggu tren tersebut ketika ini agak lambat iaitu sekitar lapan minit.

Katanya, kadar kekerapan operasi sedia ada iaitu 7.5 minit pada waktu puncak adalah munasabah untuk peringkat permulaan.

Terdahulu, media melaporkan lebih 60,000 pengguna dijangka menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam (LRT3) yang mula beroperasi semalam dan dibuka secara percuma selama sebulan sehingga 31 Julai ini.

Kemudahan itu boleh diakses melalui 20 stesen di sepanjang 37.8 kilometer dari Johan Setia, Klang yang menghubungkan dengan Bandar Raya Shah Alam dan Bandar Utama, Petaling Jaya.

“Hal ini disesuaikan dengan kapasiti reka bentuk dan jumlah tren yang ada pada masa ini.

“Buat masa sekarang, kita akan memantau corak dan trend penggunaan dalam tempoh sebulan ini terlebih dahulu untuk melihat permintaan sebenar penumpang khususnya pada waktu puncak.

“Apabila pihak kementerian menerima kemasukan tren-tren tambahan kelak, tahap kekerapan jadual perjalanan tersebut sudah pasti boleh dikaji dan disemak semula secara berperingkat,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Program Pemandu Sihat dan Selamat, di sini hari ini.

Katanya, MOT akan mengambil tindakan segera sekiranya data pemantauan menunjukkan jumlah penumpang melonjak tinggi demi keselesaan orang awam.

“Kita akan mengarahkan Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) untuk menyemak semula jadual operasi bagi mengurangkan masa menunggu pengguna jika trend penggunaan meningkat terutamanya pada waktu sesak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN