Enam sekeluarga maut: MOT tunggu laporan penuh siasatan

Enam sekeluarga maut: MOT tunggu laporan penuh siasatan

HASBI Habibollah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan IRTF 2026 di Bukit Jambul, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Pengangkutan (MOT) masih menunggu laporan penuh berhubung punca kemalangan membabitkan sebuah Proton X50 dengan lori tanah sehingga mengorbankan enam nyawa di Kampung Baru, Pinang Tunggal, Kedah, petang semalam.

Timbalan Menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, buat masa ini, pihaknya enggan membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal termasuk sama ada kemalangan tersebut berpunca daripada masalah teknikal kenderaan atau sebaliknya.

“Kita masih menunggu siasatan, siasatan dari pihak kitalah (MOT). Jadi, saya tidak boleh komen dahulu. Itu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika hadir merasmikan Forum Transit Rel Antarabangsa (IRTF) 2026 di Bukit Jambul di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, enam sekeluarga maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabit bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan tanah ketika mereka dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga mereka di sana.

Mangsa yang terbunuh disahkan sebagai Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, yang juga seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Nibong Tebal dekat sini selain isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, yang merupakan jururawat di sebuah hospital di Sungai Bakap.

Turut maut ialah bayi mereka, Ahmad Mikail yang baru berusia dua bulan manakala seorang lagi anak pasangan terbabit iaitu Aulia Sofea, 3, cedera parah pada bahagian muka.

Sementara itu, tiga lagi mangsa yang maut ialah adik kepada Ahmad Syafiq iaitu Ahmad Fahim, 21, pemilik Proton X50 berkenaan yang bekerja sebagai jurujual kedai telefon dan ibunya, Nora Mohd Husin, 55, serta anak saudaranya, Iskandar Affan Ibrahim, 7.

Menurut polis, kereta yang dinaiki oleh kesemua mangsa itu ketika ini telah dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan menyeluruh bagi mengesan punca sebenar kemalangan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN