PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan, Datuk Seri Vida mengakui berasa hairan apabila anak perempuannya, Cik B, seolah-olah merestui sekiranya dia menjalin hubungan yang lebih serius dengan penyanyi dan cef selebriti, Fazley Yaakob.
Menurut Vida atau Hasmiza Othman, sebelum ini Cik B sering menolak mana-mana individu yang cuba dipadankan dengannya. Namun kali ini, anaknya itu dilihat lebih terbuka selepas menjalinkan persahabatan dengan anak Fazley, Fariedz Fazley.
“Saya tidak tahu hendak cakap apa. Bagi saya, Cik B yang menilai dia (Fazley). Cik B beritahu saya dia sudah beri lampu hijau. Saya pun hairan juga dengan Cik B ini.
“Saya mengenali Fazley sebagai rakan bisnes. Dalam urusan kerja, memang perlu ada keserasian untuk memastikan sesuatu kerjasama itu berjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Vida, Cik B juga merupakan individu pertama yang sering mengusiknya mengenai hubungan dengan Fazley. Bagaimanapun, dia enggan terlalu memikirkan perkara tersebut.
“Anak saya yang mulakan dahulu kerana dia tinggal bersama Fariedz selama beberapa minggu. Jadi dia dapat melihat sendiri kasih sayang Fazley terhadap anak-anaknya.
“Mungkin Cik B sekadar bergurau dan mahu mengusik saya. Kita tidak boleh kata apa-apa lagi. Sama ada kawan atau lebih daripada itu, kita tengok sahaja. Ikut sahaja aliran yang ada,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai hubungan mereka, Vida menjelaskan dia kini selesa menganggap Fazley sebagai rakan sekerja memandangkan penyanyi itu banyak membantu dalam pengurusan kafe miliknya di Brunei.
“Sebenarnya saya melantik Fazley sebagai cef eksekutif untuk kedai kopi yang saya buka di Brunei. Sudah hampir dua bulan dia terlibat dalam projek itu.
“Dia bertanggungjawab menghasilkan resipi seperti burger, pizza, biskut dan pelbagai menu lain. Namun, urusan tersebut banyak dikendalikan oleh pengurus saya.
“Sebab itu dia datang ke rumah, untuk menguji dan menilai produk yang telah kami hasilkan. Apa yang telah dibuat setakat ini mendapat kelulusan daripadanya dan dia akan menambah baik resipi tersebut supaya lebih sedap untuk cawangan kami di Brunei, iaitu outlet kedua selepas Ipoh,” katanya.
Terdahulu, Fazley menjelaskan hubungan mereka sekadar kawan. Namun, dia tidak menafikan Vida memiliki ciri-ciri seorang isteri yang sempurna. -UTUSAN










