'Saya tidak mahu jawatan MB sekiranya perlu duduk semeja dengan DAP'

‘Saya tidak mahu jawatan MB sekiranya perlu duduk semeja dengan DAP’

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Tegas beliau, kerjasama antara BN khususnya UMNO dan DAP di negeri ini tidak pernah terjalin selama ini, berbeza berbanding realiti yang dihadapi di peringkat pusat.

“InshaAllah apabila kerajaan negeri kita ditubuhkan kembali dengan perkenan Tuanku Sultan Johor dan Pemangku Sultan Johor, jika kita diberikan mandat untuk pimpin sekali lagi, kita tidak akan sesekali bersama dengan DAP dalam kerajaan negeri BN.

“Saya lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar daripada perlu duduk semeja dengan mereka, ini semangat Johor, Bangsa Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity, di sini hari ini.

Tambah Menteri Besar Johor itu, keengganan beliau untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP bukanlah disebabkan sikap perkauman seperti didakwa segelintir pihak.

“Sebaliknya, masyarakat Johor, sama ada Melayu, Cina dan India kita duduk sebagai sebuah keluarga, kita semua Bangsa Johor. Jentera BN juga perlu terus memahamkan rakyat, harap kekeliruan dibuat pihak tidak bertanggungjawab dapat dipatahkan.

“BN Johor tidak pernah duduk semeja dengan DAP. Senario di pusat dan Johor realitinya sedikit berbeza. Sebaliknya yang saya ingat pernah duduk semeja dengan DAP adalah Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jadi tolong ingatkan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Onn Hafiz turut memberitahu keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu bukan dibuat tanpa mengambilkira kebajikan dan kesejahteraan lebih empat juta rakyat negeri ini.

“Ramai tanya mengapa Johor bubar DUN sedangkan tempoh ada sehingga April depan. Tetapi realitinya bulan Mac adalah Aidilfitri, bulan Februari adalah Ramadan, manakala November, Disember dan Januari adalah musim tengkujuh.

“Orang di sana mungkin tidak tahu sebab mereka tidak biasa turun di Johor. Perkara ini ditambah lagi dengan keadaan geopolitik Asia Barat yang semakin teruk, Selat Hormuz juga masih ditutup. Jadi dalam keadaan ini kita perlukan kerajaan negeri lebih stabil untuk pastikan Johor terus maju ke depan,” katanya.

Beliau turut memberitahu pihaknya berhasrat untuk memenangi kembali pentadbiran kerajaan negeri dengan mandat rakyat yang lebih besar berbanding diperoleh pada PRN 2022 lalu.

“Selaku Pengarah Operasi PRN ini, kita hendak pastikan momentum kemenangan BN Johor diteruskan. InshaAllah bukan sahaja menang tetapi menang dengan majoriti lebih membanggakan. Saya yakin kita boleh.

“Tetapi saya tahu perkara ini tidak akan datang bergolek, sebaliknya kita perlu terus berusaha untuk menyantuni rakyat berbilang kaum di negeri ini,” katanya sambil memberitahu kerajaan negeri BN Johor akan meneruskan pemberian Bantuan Kasih Johor (BKJ) untuk fasa kelima sekiranya diberikan mandat sekali lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN